Jumaat, 16 Oktober 2015

SAIFUDDIN PATUTNYA SUDAH LAMA TINGGALKAN UMNO

shahbudindotcom





Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah akhirnya membuat keputusan meninggalkan UMNO dan menyertai PKR hari ini. Keputusan beliau sebenarnya tidaklah mengejutkan kerana jalur pemikirannya memang sudah lama tidak sesuai dengan parti itu.

Cuma, beliau sepatutnya lebih awal lagi meninggalkan UMNO lantaran jurang pemikirannya dengan parti itu yang semakin melebar berkaitan beberapa perkembangan melibatkan hubungan kaum dan isu-isu semasa berkaitan kerajaan.

Beliau yang pernah menjadi ahli MT UMNO dan memimpin Majlis Belia Malaysia (MBM), dikenali dengan pemikiran yang menolak ekstremisme kaum dan tidak takut menyuarakan pandangan yang berbeza dengan wadah yang dianutinya.

Jiwanya yang merdeka, tidak pandai mengampu dan enggan mencium tangan pemimpin berkuasa, memang tidak sesuai sama sekali dengan UMNO.

Jika beliau ada watak seperti itu, pasti beliau dulu menjadi menteri atau menduduki mana-mana agensi kerajaan yang menjanjikan habuan lumayan kepadanya.

Dalam UMNO, berbanding yang pandai membodek, mengampu dan selalu cium tangan, pemimpin seperti Saifuddin yang lantang, kritikal dan jujur memberikan pandangan, memang sukar untuk mendapat tempat. 

Lihat saja Nur Jazlan Mohamed, gaya pemikirannya juga mirip Saifuddin, jika bukan kerana keperluan "mengkucar-kacirkan" Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang sedang menyiasat 1MDB, barangkali sampai sekarang beliau tidak dilantik sebarang jawatan dalam kerajaan.

Rezeki Nur Jazlan hanya datang dengan dilantik sebagai timbalan menteri dalam negeri kerana timbulnya penyiasatan terhadap 1MDB yang membuatkan Najib terpaksa mengambil langkah-langkah menyelamatkan diri, walaupun beliau lebih senior, berkelayakan dan berkemampuan berbanding ramai menteri dan timbalan menteri sedia ada.

Meskipun Saifuddin menyebut sebab utama beliau meninggalkan UMNO ialah kerana kegagalan parti itu menangani isu berkaitan 1MDB dan wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun Najib Razak, hakikatnya pilihan beliau ini lebih menjanjikan masa depan yang cerah buatnya.

Dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Yayasan Kesederhanaan Global yang dipengerusikan oleh Najib selepas PRU 13, tidak banyak yang boleh dilakukannya melalui badan itu berikutan pendirian serta imej Perdana Menteri  yang kerapkali tidak menentu.

Lantaran itu, dengan keluar beliau daripada UMNO dan meletakkan jawatan daripada yayasan itu, ia juga bermakna tamparan terhadap kegagalan Najib sendiri mempromosikan imej sederhananya kepada rakyat.

Tidak dinafikan Saiffuddin mungkin akan dipecat tidak lama lagi daripada UMNO berikutan kehadirannya mewakili NGO Akademi Belia dalam persidangan meja bulat penubuhan Pakatan Harapan baru-baru ini yang menyebabkan ramai pemimpin parti itu tidak senang dengannya, namun beliau ternyata bijak dengan mengambil sikap "keluar lebih dulu sebelum kena pecat."

Sekurang-kurangnya Saifuddin keluar daripada UMNO dan menyertai PKR dengan "tanda harga" yang masih ada pada dirinya. Beliau memilih tidak mahu menjadi "sampah hanyut" dalam UMNO semata-mata kerana tiada bakat mengampu dan membodek dalam dirinya.

Sebagai parti berbilang kaum, PKR memang sesuai untuk Saifuddin. Parti itu juga menjanjikan masa depan yang cerah kepadanya jka mereka meletakkan Saifuddin bertanding di mana-mana kawasan Parlimen yang mempunyai pengundi campuran.

Tidak semestinya beliau mesti diletakkan di Temerloh semula iaitu kawasan lamanya, bahkan boleh dipertimbangkan di lain-lain kawasan di Pahang atau diletakkan sebagai calon di Wilayah Persekutuan atau Selangor.

Kalahnya beliau mewakili BN di Temerloh dalam PRU 13 lalu kepada calon Pas, Nasharuddin Tantawi bukanlah bermakna pengundi menolaknya secara peribadi, tetapi lebih disebabkan penolakan terhadap UMNO dan BN ketika itu.

Dalam pilihanraya akan datang, PKR wajar memanfaatkan Saifuddin sebagai bekas timbalan menteri dan bekas pemimpin belia yang digemari oleh generasi muda, khususnya golongan urban dengan meletakkannya bertanding di mana-mana kawasan yang sesuai kerana pemikiran serta kebolehannya adalah aset kepada parti itu untuk bersuara di Parlimen. 

Meninggalkan UMNO adalah pilihan yang tepat baginya, sama seperti pilihannya menyertai PKR sebagai wadah baru.


Tiada ulasan: