Khamis, 22 Oktober 2015

Sabah, Sarawak masih ketinggalan, ujar pembangkang

Sabah, Sarawak masih ketinggalan, ujar pembangkang


KUALA LUMPUR -  Meskipun memiliki capaian tinggi terhadap hasil sumber asli, Sabah dan Sarawak didakwa masih lagi ketinggalan hampir kesemua petunjuk kemajuan.

Pakatan Harapan dalam Belanjawan Alternatifnya berkata, jurang antara Sabah Sarawak dan Semenanjung semakin melebar meskipun pelbagai peruntukan diberikan oleh kerajaan.

"Saban tahun, dalam belanjawan Persekutuan pelbagai rancangan dan peruntukan diberikan namun jurang itu masih wujud," katanya.

Justeru, di dalam Belanjawan Alternatif, Pakatan Harapan mencadangkan mewujudkan tabung pembiayaan sumber bagi kedua negeri itu.

"Permintaan 20 peratus royalti minyak dan gas akan menjadi kenyataan di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

"Kami akan asingkan 20 peratus royalti untuk menubuhkan tabung sumber bermodelkan Alaskan Permanent Fund dan Norwegeian Persion Fund," katanya.

Dalam belanjawan Alternatif itu juga mencadangkan untuk membatalkan projek kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Singapura.

"Dana RM35 bilion tersebut akan digunakan untuk membina jaringan pengangkutan kereta api antara Kuching ke Tawau.

" ini akan meningkatkan  jaringan antara bandar dan akhirnya menjana impak berganda kepada pembangunan ekonomi," katanya.

Selain itu, Pakatan Harapan turut mencadangkan penubuhan dana biasiswa untuk pelajar cemerlang di Malaysia Timur itu untuk belajar di universiti ternama di dalam dan luar negeri dengan syarat perlu pulang selepas menamatkan pengajian.

"Cadangan ini akan memberangsangkan pembangunan modal insan di Sabah dan Sarawak pada masa sama dapat menangani kes pelajar tidak pulang sebaik sahaja tamat pengajian," katanya.


Tiada ulasan: