KUALA LUMPUR: Juara 32 kali, Selangor menjadi pasukan pertama layak ke
suku akhir bola sepak Piala Malaysia selepas menjuarai Kumpulan C, malam
tadi.
Biarpun masih mempunyai satu lagi baki perlawanan, 10 mata yang dikutip
selepas lima perlawanan dalam kumpulan maut itu, sudah cukup
mengesahkan kedudukan mereka sebagai juara kumpulan selepas pencabar
terdekat Felda United dan T-Team, masing-masing mengutip enam mata
diikuti Kelantan yang mendapat lima mata.
Selangor meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan wakil
Terengganu, T-Team 2-1 di Stadium Shah Alam menerusi jaringan Andik
Vermansah dan Ahmad Hazwan Bakri, masing-masing pada minit ke-18 dan 72
manakala gol tunggal pelawat disumbang Mohd Zarulizwan Mazlan pada minit
ke-28.
Felda United dan Kelantan pula terikat 2-2 pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Penyerang import dari Brazil, Thiago Augusto Fernandes meledak dua
jaringan untuk tuan rumah pada minit ke-18 dan 32 manakala dua gol
Kelantan dihasilkan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-28 dan kapten Mohd
Badhri Radzi pada minit ke-43.
Juara Liga Super 2015, Johor Darul Ta'zim (JDT) melebarkan rekod tanpa
kalah kepada tiga perlawanan selepas mengatasi Angkatan Tentera Malaysia
4-0 pada aksi Kumpulan B di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan terus mengungguli
kumpulan berkenaan menerusi kutipan maksimum sembilan mata selepas tiga
perlawanan.
Empat gol JDT dijaringkan S.Chanthuru pada minit ke-11, kapten pasukan
Safiq Rahim (m24), Luciano Figueroa (m36) dan Mohd Nazrin Mohd Nawi
(m69).
Dalam satu lagi aksi kumpulan B, jaringan tunggal J. Partiban pada
minit ke-34 membolehkan Sarawak meraih tiga mata ke atas Perak di
Stadium Negeri, Kuching.
Terengganu pula kembali menghidupkan peluang memburu slot ke suku akhir
selepas menewaskan pendahulu Kumpulan A, Kedah 3-1 di Stadium Sultan
Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
Penyerang import dari Kanada, Issey Nakajima-Farran meledak dua gol
untuk skuad Penyu pada minit ke-24 dan 73 serta jaringan Hasmizan
Kamaruddin (m76) manakala Kedah meraih gol saguhati menerusi Bang
Seungwhan (m68).
Kekalahan itu menyaksikan wakil kelab Singapura, Lions XII merampas
kedudukan Kedah di tangga teratas kumpulan selepas meraih kemenangan
tipis 1-0 ke atas JDT II hasil jaringan Shahdan Sulaiman pada minit
ke-49 di Stadium Jalan Besar, Singapura.
Sementara itu, kejutan berlaku dalam saingan kumpulan D selepas juara
bertahan, Pahang yang juga pendahulu kumpulan, kalah mengejut 1-4 kepada
PKNS FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Empat gol skuad Semut Merah dijaringkan Gabriel Miguel Guerra pada
minit ke-15, Pedro Henrique (m25), Mohd Nizam Abu Bakar (m82) dan
Patrick Ronaldinho Wleh (m90) manakala Pahang memperoleh gol saguhati
menerusi Zesh Rehman (m45).
Di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia (PDRM)
mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Pulau Pinang dalam satu lagi aksi
Kumpulan D.
Tiga gol skuad The Cops dijaringkan Mohamadou Sumareh pada minit
keempat dan 84 serta gol Ahmad Nizam Mohd Rodzi (m9) manakala Lee Gil
Hoon dan Mohamad Faisal Abdul Halim menjaringkan gol tuan rumah,
masing-masing pada minit ke-67 dan 90.
Kempen Piala Malaysia kembali bersambung malam ini selepas ditunda
Persatuan Bola Sepak Malaysia susulan keadaan jerebu yang melanda negara
sebelum ini.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan