Ahad, 18 Oktober 2015

Pemuda MIC kutuk Tun M



 
Sivaraajh meminta perwakilan MIC henti agungkan Dr Mahathir sebaliknya menyanjung kepimpinan Najib


Siva-mic


KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Sivaraajh Chandran menuduh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang yang rasis.

Dakwaan itu dikukuhkan selepas dia membaca buku yang ditulis oleh Dr Mahathir berjudul ‘Doctor In The House’.

“Saya tak salahkan sesiapa, saya cuma salahkan Tun Mahathir. Saya baca buku ‘Doctor In The House’.
Saya tahu betapa rasisnya beliau,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Persidangan Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC di Menara Felda, Kuala Lumpur pada Ahad.

Mengulas lanjut, Sivaraajh turut mengkritik kepimpinan Dr Mahathir sewaktu beliau mentadbir negara, dengan mendakwa bekas Perdana Menteri itu telah mengubahsuai pelbagai polisi bagi memenuhi kehendak sesetengah pihak.

“Sejak Tun M, dasar ekonomi baru diperkasakan oleh beliau, pelbagai polisi diubahsuai, dicatatkan untuk memenuhi kehendak sesetengah kumpulan,” katanya.

Ketika berucap di hadapan kira-kira lebih 500 pemuda, wanita, putera dan puteri MIC, Sivaraajh turut menasihatkan agar perwakilan berhenti mengagungkan Dr Mahathir.

Hal ini kerana, Dr Mahathir dikatakan telah menjadi punca terhadap krisis sedia ada yang dialami negara pada hari ini.

“Saya kagumi beliau sebagai individu. Tetapi hari ini saya sangat sedih dengan perkembangan semasa yang berlaku di negara kita.

“Semua yang kita hadapi hari ini adalah disebabkan Tun M. Saya harap janganlah mengagungkan Tun M.
Beliau pemimpin baik, cuma polisi beliau bermotifkan, berpaksikan kepada individu golongan tertentu sahaja,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau turut memuji kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang disifatkannya sebagai pemimpin yang prihatin dan merasai kesusahan masyarakat India di negara ini.

“Saya sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia. Beliau prihatin tentang pembangunan dan kesusahan masyarakat India.

“Beliau sanggup melawan arus, bukan seperti pemimpin lain untuk bantu masyarakat India,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: