Khamis, 15 Oktober 2015

PAS tak sendirian walaupun tidak bersama Pakatan Harapan - Takiyuddin

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic


KUALA LUMPUR: Walaupun tidak menyertai gabungan baru parti pembangkang Pakatan Harapan, PAS tidak bersendirian serta boleh menjalin kerjasama dengan banyak lagi parti-parti lain, tegas Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Katanya, setakat ini pun ada kira-kira 20 parti yang PAS boleh jalinkan kerjasama walaupun tidak menganggotai pakatan pembangkang baru itu.

"Kita putuskan dalam konteks lain kita bersendirian, tetapi tidak bermaksud kami bersendirian. Kita mungkin kalaupun tidak bersama DAP dan Amanah, kita bersama dengan PKR dan mungkin ada parti-parti lain.

"Ada beberapa parti yang baru sahaja berdaftar dengan ROS, 20 parti-parti kecil yang telah didaftarkan dan telah diterima oleh ROS. Jadi banyak lagi parti-parti politik lain.

"Yang baru ada, yang lama ada (parti), banyak. Jadi kami tidak bergantung kepada parti yang kukuh sahaja," katanya semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang masih mengharapkan PAS menyertai pakatan pembangkang baru itu yang turut dianggotai DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Kelmarin, Mohamed Azmin berkata, PKR mahu melihat keanggotaan pakatan pembangkang baru itu diperluaskan kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta parti-parti pembangkang di Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, PKR turut menggesa sekutu-sekutunya dalam pakatan pembangkang untuk menghentikan perbalahan sesama sendiri dan jangan mencampuri urusan dalaman parti lain.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, bagi PAS kerjasama dengan pakatan pembangkang setakat ini hanya melibatkan PKR.

"Setakat ini kita masih bersama dengan PKR sahaja, jadi untuk parti-parti lain buat masa ini kita belum buat keputusan apa-apa," ujarnya.

Terdahulu Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim berkata, PAS tiada masa untuk melayan kerenah bekas rakan komponennya dalam Pakatan Rakyat, DAP yang kerap menjadikan PAS sasaran serangannya di samping mendakwa serik terkena banyak kali dengan permainan politik DAP.

"Bagi PAS dengan DAP ini (sudah dua tiga kali) terkena.

"Dulu DAP tarik diri daripada Barisan Alternatif (BA), kemudian DAP 'serang' PAS selepas muktamar dan selepas dengan muktamar ini, kita tidak mungkin buat kerjasama dari segi politik.

Tiada ulasan: