Sabtu, 17 Oktober 2015

PAS tak gadai prinsip, kerjasama dengan Perkasa demi kebaikan, kata Pemuda

THE MALAYSIAN INSIDER



PAS menafikan kesepakatan bersama Perkasa akan menjejaskan prisip perjuangan parti itu dan ia sebagai satu daripada cara membuka mata NGO pro Umno lain terhadap perjuangan PAS selama ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 Oktober, 2015.PAS menafikan kesepakatan bersama Perkasa akan menjejaskan prisip perjuangan parti itu dan ia sebagai satu daripada cara membuka mata NGO pro Umno lain terhadap perjuangan PAS selama ini. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
PAS tidak akan menggadaikan prisip perjuangannya dalam menjalankan kerjasama dengan mana-mana pihak, sama ada pertubuhan politik mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa), kata Pemuda PAS menurut laporan Sinar Harian hari ini.

Memetik ketua penerangannya Ahmad Fadhli Shaari, PAS dilaporkan sentiasa sedia membuka pintu untuk berunding dengan mana-mana pihak demi mencapai kebaikan bersama.

Tetapi katanya, keterbukaan PAS itu tidak membawa maksud parti itu akan bergabung dengan mana-mana parti mahupun NGO ketika ini.

"Desas desus mengatakan PAS akan bergabung dengan Perkasa adalah tidak benar sama sekali. Pertemuan yang diadakan kelmarin hanyalah untuk menyatakan persetujuan bersama dalam beberapa hal sahaja. “Ia (pertemuan) tidak pelik. Mereka bukan satu-satunya NGO yang menjalankan perundingan dengan PAS,” beliau dipetik berkata akhbar itu.

Perkasa pada Selasa mengunjungi Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur dan turut mengadakan pertemuan selama 2 jam bersama presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta mencapai persetujuan bersama dalam isu berkaitan kepentingan rakyat dan negara.

Tiga persetujuan yang dibuat ialah mengenai teguran Majlis Raja-Raja Melayu terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bantahan penahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma dan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Bagaimanapun, selepas pengumuman Hadi mengenai kerjasama antara mereka itu dilaporkan media, beberapa pihak dalam PAS termasuk setiausaha politik presiden itu sendiri mengeluarkan kenyataan menafikan wujud kerjasama rasmi antara mereka.

Setiausaha Hadi tersebut, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kedua-dua pihak itu hanya bersetuju mengenai 3 isu itu sahaja, manakala Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pertemuan itu sekadar bersependapat dalam isu nasional tanpa niat menjalinkan kerjasama dalam soal politik.

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar A Samad pula berkata, pihaknya menolak sama sekali mana-mana pihak yang membawa sentimen perkauman, merujuk kepada Perkasa.

Fadhli berkata, PAS mempunyai ketetapan tersendiri untuk bersetuju dengan beberapa perkara bersama Perkasa dan ia tidak kelihatan pelik selagi tiada provokasi oleh pertubuhan itu agar parti Islam mengetepikan agenda perjuangannya.

Beliau berkata, cara ini juga akan membuka mata NGO pro Umno yang tidak nampak apa diperjuangkan PAS selama ini.

“Sebenarnya, tindakan Hadi membuka ruang untuk kehadiran Perkasa ke Pejabat Agung PAS adalah satu tindakan yang tepat.

“Ia membuktikan NGO pro Umno selama ini mula melihat PAS sebagai parti alternatif bagi membela umat Islam dan bangsa Melayu, bahkan semua bangsa di negara ini,” katanya.


1 ulasan:

cikmatgelap berkata...

hanya ahli2 pas yg kurang cerdik aje yg setuju,yg agak cerdik dah pun tinggalkan pas dan yg masih bersama pun akan tinggalkan pas bila sedfar mereka telah tertipu