Sabtu, 17 Oktober 2015

PAS lebih minat tukar kerajaan melalui pilihan raya bukan gulingkan PM

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan berkata parti itu lebih berminat melakukan perubahan menerusi pilihan raya umum daripada menyokong percubaan jatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 
 
PKR dan DAP sebelum ini diuar-uarkan mahu mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Najib pada persidangan Parlimen yang akan bermula minggu depan.
 
Bagaimanapun usul itu tidak mendapat sokongan PAS.
 
Nasrudin berkata, masalah sama tetap akan berulang dalam pemerintahan negara meskipun perdana menteri ditukar jika corak pemerintahan asas tidak diubah.
 
"Saya mempunyai pandangan yang tersendiri dalam isu ini, bagi menyelesaikan masalah saya lihat isunya bukan pada perdana menteri tapi pada sistem dan juga dasar yang diamalkan kerajaan," katanya kepada Antarapos.
 
Nasrudin menegaskan tindakan menukar perdana menteri yang kini disandang Datuk Seri Najib bukan pilihan terbaik selagi dasar negara tidak dirombak.
 
"Kalau dijatuhkan sekalipun perdana menteri yang ada sekarang ini Datuk Seri Najib dengan apa caralah sama ada undi tak percaya atau beliau meletakkan jawatan nantinya akan naik orang lain yang juga daripada Umno.
 
Justeru Ahli Parlimen Temerloh berkata, ini adalah lebih wajar untuk rakyat menggunakan mandat memilih demi melakukan perubahan bersifat total dengan menukar parti pemerintah pada pilihan raya umum akan datang.
 
"Jadi perubahan itu adalah perubahan yang bersifat ranting ataupun bersifat cabang yang tak menyelesaikan masalah.
 
"Kita sebenarnya perlu pergi kepada penyelesaian yang bersifat total dan asas. Maknanya kena ubah dasar dan juga sistem iaitu dasar ekonomi atau sistem ekonomi itu mesti diubah," katanya.
 
"Saya bimbang kalau mood yang ada pada hari ini hanya sekadar terhenti nak tukar Najib, naik orang baru ia akan beri kesan kepada potensi kita berdepan pilihanraya akan datang," katanya.
 
"Sebab setiap kali berlaku pertukaran perdana menteri seketika ia akan memberi kekuatan dan nafas baru kepada Umno sebagai contoh 20 tahun lebih Tun Mahathir memimpin orang benci macam kata orang sekarang tahap gaban.
 
"Akhirnya terpaksa letak jawatan dan diganti dengan Pak Lah. Kemudian orang memberi harapan baru Umno dan berubah dengan kepimpinan baru...Jadi diberilah peluang kepada Pak Lah yang datang dengan Islam Hadhari, kuat seketika dan kita kalah dalam pilihan raya,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: