Rabu, 14 Oktober 2015

Pakatan Harapan, usah terima kunjungan Perkasa



Oleh Zainulfaqar Yaacob 


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hanya membuat kunjungan hormat kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sahaja.

Itu yang Setiausaha Politik Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar sendiri tegaskan, sambil menafikan PAS ada kerjasama rasmi dengan pertubuhan pelampau Perkasa, yang diketuai Datuk Ibrahim Ali.

Walaupun begitu, Parti Amanah Negara (Amanah) perlu mencari jalan supaya tiada kunjungan hormat daripada Perkasa pula untuk bertemu dengan pemimpin utama yang lain dalam Pakatan Harapan.


Ini kerana, usaha membawa masuk PAS ke dalam Pakatan Harapan masih berlaku, sehingga kini, dan niat itu cuba dimurnikan pemimpin tertentu PAS sendiri.

Rakyat pasti akan bertanya, takkan Pakatan Harapan tidak boleh menerima kunjungan hormat daripada Perkasa suatu hari nanti, selepas PAS sendiri menerima kunjungan hormat pertubuhan pelampau itu sekarang.

Barangkali selepas ini, pemimpin Amanah sendiri pun akan ditanya, bila lagi hendak terima kunjungan hormat Umno seperti  Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Tun Dr Mahathir Mohamad yang sekarang ini lantang menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Jangan ingat rakyat tuli dalam menilai Pakatan Harapan, khususnya Amanah.

Kalau hendak mementingkan "politik kekuasaan" macam Perkasa yang mesra dengan Umno dan PAS, majoriti rakyat akan pertikai integriti politik kita.

Sempena sambutan 1 Muharam 1437H ini, saya menyeru Amanah memperkasa "politik nilai" seperti integriti, anti kezaliman, telus dengan rakyat.

Saya berharap Pakatan Harapan fokus pada agenda mengukuhkan sokongan rakyat, termasuk mengikat perjanjian politik dengan parti-parti anti kezaliman Umno BN dari Sabah dan Sarawak.

Pada masa yang sama, jangan lupa agenda membebaskan bakal perdana menteri daripada Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, seterusnya ke arah usaha menyelamatkan ekonomi negara.

Semarakkan kefahaman rakyat, Najib adalah pemimpin yang menindas semua rakyat, dan terbaru adalah isu kenaikan tol yang nyata membebankan rakyat terbanyak.

Saya yakin Pakatan Harapan lebih berwibawa tanpa anasir politik kepuakan melampau tajaan Umno serta Perkasa.

Amanah perlu terus mempertahankan "politik nilai" yang rakyat harapkan ini.

Semoga Amanah, khususnya di Pulau Pinang boleh menggarap lagi sokongan  rakyat terbanyak kepada Pakatan Harapan atas amalan "politik nilai", bersama-sama PKR dan DAP.

Amanah perlu menggandakan usaha saling bekerjasama dengan PKR dan DAP atas nama kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang ke arah memupuk sokongan rakyat terbanyak, dari peringkat negeri sehinggalah peringkat Parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan komuniti setempat.

* Zainulfaqar Yaacob ialah pengarah komunikasi Amanah Pulau Pinang.

Tiada ulasan: