Selasa, 13 Oktober 2015

Najib bohong isu sensitiviti kartunis

Zunar  





ULASAN Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak bercakap benar dalam majlis Anugerah Kampung Boy 2015 untuk kartunis di Putrajaya malam tadi.

Beliau mengelak dari menyentuh masalah kekangan kerajaan terhadap kartunis dalam ucapannya. Najib dipetik media sebagai berkata, kerajaan membenarkan kartunis menyentuh isu politik.

Ini adalah pembohongan nyata kerana di bawah pemerintahan beliau, karya kartun politik diharamkan dan kartunis politik ditangkap, seperti dalam kes saya sendiri.

Dalam ucapan itu juga, Najib menasihati kartunis supaya tidak cuba mengikut gaya lukisan oleh kartunis Charlie Hebdo yang tidak sensitif dalam isu agama.

PM tidak perlu merawang jauh tentang Charlie Hebdo kerana kartunis di Malaysia menghormati sensitiviti agama dan kaum kerana itu ia bukan isu di negara ini.

Isu besar yang kartunis hadapi ialah sempitnya ruang berekspesi kerana kekangan undang-undang seperti Akta Hasutan dan juga Akta Mesin Cetak & Penerbitan.

Akta ini adalah senjata kerajaan yang menyebabkan kartunis tidak berani mengkritik perlakuan rasuah seperti skandal 1MDB dan isu berbilion ringgit dalam akaun peribadi Najib sendiri.

Ini menyebabkan kartunis gagal menjalankan tanggungjawab sebagai pengritik kerajaan. Kartun sememangnya lucu, tetapi tindakan kerajaan menyekat kartunis lebih lucu.

Akta ini juga menyebabkan akhbar arus perdana tidak berani menyediakan ruang untuk kartunis yang bersikap kritikal dalam akhbar mereka.

Tindakan ini membunuh aspirasi kartunis baru. Ia jauh berbeza dengan amalan kerajaan Asean lain seperti Indonesia dan Filipina, malah Myanmar sejak akhir-akhir ini.

Saya mengalu-alukan pengumuman Najib bahawa kerajaan akan memperuntukkan sebuah “rumah” bagi kartunis mempamerkan karya mereka selain dijadikan tempat berkumpul.

Namun, kaedah peruntukan seperti BR1M ini dan bukanlah penyelesaian kepada masalah yang melanda industri kartun di Malaysia.

Selain dari penapisan dari kerajaan, industri kartun tanah air menghadapi masalah kebanjiran penerbitan kartun dari luar terutama dari Hong Kong dan Jepun yang menyebabkan beberapa majalah kartun tempatan terpaksa gulung tikar dan juga semakin tidak laku.

Saya difahamkan ratusan permit dilulus oleh KDN bagi majalah kartun dari Hong Kong dan Jepun setiap tahun.

Kerajaan perlu mengambil langkah tegas mengawal kemasukan majalah seperti ini bagi menlindungi industri dan juga kartunis tempatan.

Cukuplah Najib menasihati kartunis. Saya ingin menasihati Najib supaya segera menghapuskan Akta Mesin Cetak & Penerbitan serta Akta Hasutan. Wujudkan ruang berekspresi yang luas kepada kartunis.

ZUNAR atau nama sebenarnya ZULKIFLEE ANWAR ULHAQUE kartunis politik.

Tiada ulasan: