KUALA LUMPUR,  Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak menyifatkan MCA bukanlah ‘silent partner’ seperti yang dikatakan oleh DAP.


Menurut Najib, MCA sentiasa memberikan pendapat dengan cara yang penuh berhemah, tegas dan bukan melalui cara biadap sama ada dalam mesyuarat kabinet dan BN.

“MCA sentiasa menyuarakan pendapat dan keresahan masyarakat Cina di negara ini.

“Jadi tidak benar sama sekali sekiranya DAP mengatakan MCA adalah ‘silent partner’ dalam BN,” katanya sewaktu berucap pada Perhimpunan Agung MCA kali ke-62 di sini hari ini.

Tambah Najib, juga MCA perlu menghentikan pertelingkahan dalaman bagi memastikan parti berkenaan dapat terus bergerak ke hadapan.

Ujarnya, perbezaan pendapat tidak menjadi masalah namun pertelingkahan di peringkat kepimpinan tertinggi perlu dielakkan sama sekali.

“MCA sebelum ini sudah lama terkesan akibat daripada pergeseran dalam kepimpinan tertinggi parti yang tidak berkesudahan.

“Sekarang ini sudah ada keserasian antara Presiden, Timbalan Presiden dan juga Setiausaha Agung dan pertelingkahan perlu dihentikan.

“Pilihanraya boleh dibuat pada bila-bila masa dan maksimum dalam tempoh tiga tahun dan kita perlu fokus supaya dapat menang lebih besar,” tegasnya.