Jumaat, 23 Oktober 2015

Masa terbaik perkasa undang-undang rasuah

Rasuah
Sumber foto internet.
 
 
KENYATAAN dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang dan juga Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed baru-baru ini menyentuh, malah menarik perhatian saya.

Penzahiran mereka berdua membawa kepada keinginan saya untuk melakar tulisan kecil ini. Tan Sri Abu Zahar mahu kerajaan menyegerakan pelaksanaan beberapa syor yang dikemukakan bagi memperkukuhkan institusi pencegahan rasuah.

Abu Kassim pula memberi jaminan akan mempertahankan SPRM yang diberi amanah untuk mewujudkan persekitaran bebas rasuah. Bermakna kedua-dua mereka bagi kebebasan SPRM terus dipertingkatkan bagi menunaikan kepercayaan yang diletakkan.

Saya sudah lama bersara dari perkhidmatan pencegahan rasuah. Tetapi, hati nurani masih bersama SPRM, yang sebelum tahun 2009, dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Saya memerhatikan dengan rapat dan penuh bersemangat nasib yang melanda SPRM. Saya pernah menjawat jawatan pengarah siasatan ketika era BPR. Sektor operasi dan siasatan sebahagian daripada darah daging saya.

Sejak dinaikkan taraf tujuh tahun yang lalu, SPRM mendapat perhatian ramai. Selaku sebuah agensi penguat kuasa pencegahan rasuah negara,  SPRM tidak dapat lari daripada radar pemerhatian rakyat.

Keprihatinan yang diperlihatkan menunjukkan rakyat menyayangi SPRM, mencintai negara. Tujuh tahun lalu, BPR dinaikkan taraf sebagai sebuah suruhanjaya bebas susulan harapan rakyat.

Detik mencabar SPRM

Sepanjang tujuh tahun lalu, SPRM telah melalui beberapa detik yang mencabar perjalanan SPRM baru-baru ini. Bagaimanapun perkembangan sejak dua bulan yang lalu dilihat sebagai paling getir dalam sejarah SPRM.

Sesuatu yang tidak disangka dan diduga sama sekali. Ada yang positif. Ada yang tidak menyenangkan. Segala-galanya berligar sekitar tindakan SPRM menyiasat pemimpin tertinggi dalam kerajaan.

Sebagaimana disebutkan oleh Datuk Seri Zakaria Jaffar, mantan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) dalam ucapannya pada majlis persaraan pada 12 Oktober 2014, SPRM sedang menyiasat seorang yang paling berpengaruh dan berkuasa di Malaysia. SPRM atau BPR sebelum Januari 2009 pernah menyiasat pemimpin paling tertinggi peringkat kerajaan negeri.

Ini termasuklah beberapa Menteri Besar Selangor, pernah menyiasat Menteri Besar Kelantan, beberapa Ketua Menteri. Begitu juga menteri Kabinet Persekutuan dan Exco Kerajaan Negeri.

SPRM perlu bebas

Pada masa yang sama, rakyat mahu SPRM bertindak dengan lebih bebas, telus dan profesional. Harapan ini tidak dapat dielak lebih-lebih selepas SPRM beroperasi sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas, badan yang dilahirkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009.

Negara patut mengucapkan terima kasih kepada beliau atas komitmen serta wawasan beliau. Atas kapasiti sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas, telus dan profesional, SPRM bertindak sebagai sebuah agensi yang dipantau oleh lima badan yang bebas yang dianggotai oleh 46 wakil dalam masyarakat: Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Panel Penilaian Operasi, Jawatankuasa Aduan dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah. Tiada agensi lain di Malaysia yang ada lima badan bebas.

SPRM satu-satunya badan yang ada sayap panel pemantau bebas seperti ini. Malah, SPRM satu-satunya agensi yang ada badan bebas ini. Terima kasih sekali lagi atas langkah Parlimen meluluskan sistem ini pada tahun 2008.

Pembaharuan-pembaharuan ini diperkenalkan susulan harapan rakyat yang mahu melihat sebuah agensi yang tidak terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Rakyat bersama SPRM

Hari ini, harapan yang sama diketengahkan oleh rakyat dari semua lapisan. Oleh itu, kita melihat apabila SPRM berhadapan dengan dugaan paling getir, rakyat datang memberi sokongan tanpa diminta, tanpa diajak dan tanpa diadakan kempen.

Ini semua hasil usaha kerajaan selama ini. Sokongan secara sukarela ini menunjukkan rakyat meletakkan harapan yang tinggi agar terus membolehkan SPRM bertindak sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas.

Tindakan pihak tertentu membuka akaun Facebook khususnya Rakyat Bersama SPRM dan beberapa akaun Twitter serta memuat naik video bagi menzahirkn pendirian mereka.

Selaku seorang bekas pengarah siasatan, saya menyedari perasaan pegawai-pegawai SPRM sama ada yang telah bersara ataupun yang masih berkhidmat. Apa yang kita dapat pelajari daripada episod yang menimpa SPRM sejak awal bulan ini?

Sejumlah pegawai SPRM ditahan dan dipanggil untuk siasatan polis. Ada pengarah diarah ditukar serta-merta, tetapi keputusan itu dibatalkan. Ada beberapa peristiwa lain yang turut membayangi SPRM.

Kesemua perkara itu sudah terpapar kepada umum menerusi media secara langsung dan secara tidak langsung. Maka, tidak perlu saya menghuraikan satu persatu. Cuma apa yang perlu dikatakan dan ditengahkan untuk perbincangan adalah moral cerita di sebalik kejadian, dugaan dan ujian yang menimpa SPRM.
 
Banyak perkara yang perlu dan boleh dipelajari.

Pertama, rakyat mahu kebebasan SPRM berfungsi sebagai sebuah suruhanjaya bebas dipertahanakan, jika tidak dapat dipertingkatkan. Rakyat mahu SPRM memperlihatkan kebebasan untuk menjalankan fungsi utama iaitu menjalankan siasatan.

Kedua, pegawai-pegawai SPRM perlu diuruskan oleh sebuah suruhanjaya perkhidmatan sendiri. Ketiga, SPRM perlu menyiasat dengan bebas dan profesional mana-mana individu tidak kira pangkat mengikut peruntukan Akta SPRM 2009. SPRM perlu kelihatan bebas sepenuhnya.

Keempat, SPRM perlu terus meningkatkan tahap profesional dan integriti urusan siasatan. Kelima, SPRM perlu ada kuasa pendakwaan.
 
Langkah merugikan

Adakah langkah menjadikan BPR menjadi SPRM merugikan? Jawapannya tidak.
Selain menaikkan imej kerajaan, bilangan kes yang berjaya disabitkan di mahkamah rendah telah menunjukkan peningkatan daripada 54 peratus pada tahun 2009 kepada 78 peratus pada tahun 2014.

Laporan Tahunan 2014 menunjukkan kes-kes yang dapat selesai disiasat pada tahun yang sama telah mencecah paras 85 peratus.

Apa yang perlu dilakukan? Saya berharap kerajaan akan mempercepatkan penggubalan perkara-perkara berikut:

(i) Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah - syor agar dibentuk Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah iaitu yang khusus bagi SPRM merupakan antara syor yang diketengahkan oleh SPRM menerusi panel-panel bebas sejak tahun 2010.

Bagi membolehkan SPRM mendapatkan modal insan yang efektif, SPRM perlu mempunyai sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah sendiri. Laporan JKMR 2010 dengan jelas menyebut bahawa "memandangkan pola jenayah rasuah kini yang merentasi sempadan, kompleks dan bersindiket", SPRM memerlukan pegawai-pegawai yang profesional, pakar dan kompeten dalam pelbagai bidang untuk berkhidmat dengan SPRM.

Ini bukan bermakna pegawai masa sekarang tidak profesional, tetapi kita mahu tahap profesionalisme ini ditingkatkan.  Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah dapat mencerminkan hasrat sebenar kerajaan dalam memastikan SPRM benar-benar bebas, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat dengan kelebihan pengambilan pegawai yang mempunyai kemahiran profesional, integriti dan kualiti yang tinggi di lakukan sendiri oleh SPRM.

Operasi siasatan terutama sekali yang melibatkan kes-kes jenayah rasuah dan penyelewengan yang kompleks juga dapat dikendalikan dengan lebih berkesan.

(ii) Pelantikan Ketua Pesuruhjaya di bawah Perlembagaan Persekutuan - kini aspek pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM terletak di bawah Seksyen 5 Akta SPRM 2009 iaitu pelantikannya dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Ini bermaksud Ketua Pesuruhjaya boleh diambil tindakan tatatertib termasuk penamatan perkhidmatan sepertimana penjawat awam yang lain.

Ada pihak yang beranggapan bahawa peruntukan semasa tidak mencerminkan ketelusan dan kebebasan jawatan Ketua Pesuruhjaya itu sendiri.  Justeru, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan wajar dinaikkan tarafnya setanding dengan jawatan-jawatan penting seperti Peguam Negara dan Ketua Audit Negara bagi menjamin ketelusan dan kebebasan SPRM.
Dengan cara ini, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak dipengaruhi mana-mana parti politik yang memegang tampok pemerintahan negara.

(iii) Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 - Seksyen 23 Akta SPRM telah memperuntukkan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk memperoleh apa-apa suapan sama ada untuk diri, saudara atau sekutu seseorang.

Takrifan suapan adalah luas. Selain wang, derma, jawatan, apa-apa balasan berharga, apa-apa jenis perlindungan daripada apa-apa tindakan atau prosiding dan sebagainya, "suapan" melibatkan pemberian tender, projek, kontrak atau apa-apa perolehan termasuk tanah oleh seseorang penjawat awam termasuk anggota pentadbiran (ahli Jemaah Menteri dan Exco Negeri) bagi faedah dirinya, saudaranya atau sekutunya.

Senario yang berlaku pada hari ini, seseorang penjawat awam atau anggota pentadbiran sesebuah pentadbiran pusat atau negeri telah dapat mengeksploitasi kelompongan undang-undang ini yang mana menyebabkan SPRM sukar membuktikan kesalahan rasuah di bawah peruntukan ini.

Ini kerana keputusan pemberian sebarang projek, tender atau perolehan yang memihak kepada diri sendiri atau sekutunya dianggap sah dengan hanya seseorang itu mengisytiharkan kepentingannya dan keluar dari mesyuarat.

Perbuatan yang bersifat 'legally right but morally wrong' ini menyebabkan tindakan tidak dapat diambil walaupun seseorang anggota pentadbiran atau penjawat awam itu menganugerahkan projek kepada sekutu mereka dengan nilai projek atau harta yang berskala besar.

Ini telah menimbulkan stigma dan persepsi negatif di kalangan rakyat bahawa kerajaan telah mengamalkan 'selective prosecution' sedangkan hakikatnya adalah peruntukan undang-undang ini sudah dapat di kesan kelemahan-kelemahannya dan mudah dieksploitasi oleh pihak-pihak atau individu-individu yang berkuasa.

(vi) Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 - seksyen ini merupakan satu peruntukan untuk memperoleh maklumat berkaitan pemilikan harta seseorang individu berdasarkan penyiasatan yang telah dibuat oleh SPRM dan kemudiannya mempunyai alasan munasabah bahawa apa-apa jumlah wang atau harta benda yang dipegang oleh seseorang itu adalah merupakan kesalahan rasuah, maka barulah notis pengisytiharan harta boleh dikeluarkan.

Ini bermaksud bahawa SPRM tidak boleh secara terus meminta seseorang individu itu untuk mengisytiharkan kewangan atau harta benda mereka tanpa ada siasatan awal dibuat terlebih dahulu.

Masyarakat melihat isu ini sebagai satu kekangan kepada kerajaan dan SPRM untuk membanteras rasuah dengan berkesan kerana didapati terdapat sesetengah anggota pentadbiran ataupun penjawat awam mempunyai harta kekayaan yang berlebihan dan tidak sepadan dengan pendapatan yang diperoleh.

(v) Dana politik - sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan cadangan SPRM untuk mewujudkan peruntukan mewajibkan sumbangan dana politik supaya sumbangan dana kepada parti politik dimasukkan ke dalam akaun parti, bukannya ke dalam akaun persendirian mana-mana pemegang amanah.

Sebagaimana ditekankan oleh SPRM dan panel-panel bebas yang memantau perjalanan SPRM, adalah penting bagi sesebuah parti politik untuk sentiasa membina persepsi positif di kalangan masyarakat.

Antara cara terbaik untuk mencapai matlamat tersebut adalah dengan mengisytiharkan apa jua punca kewangan sesebuah parti politik dan akaun parti tersebut juga hendaklah boleh di audit dengan juruaudit bertauliah pada setiap tahun kewangan berakhir atau pada bila-bila masa bagi tujuan pemantauan oleh pihak berkuasa. Maka, pengumuman baru-baru ini oleh kerajaan bahawa sebuah panel pembiayaan politik berintegriti akan dibentuk adalah satu perkembangan positif. Kita berharap ia akan menjadi kenyataan selepas hampir lima tahun syor berkaitan dana politik diusulkan oleh SPRM.

Saya menyambut baik tindakan yang telah diambil oleh kerajaan di mana satu pengumuman mengenai pembentukan jawatankuasa telah dibuat pada Ogos lalu.

(vi) Peruntukan salah laku pegawai awam

Peruntukan satu undang-undang khas bagi menangani salah laku pegawai awam akan membantu mengikis persepsi bahawa setiap pelanggaran peraturan awam berkaitan dengan rasuah. Orang ramai sendiri membuat tanggapan umum dan kadangkala beranggapan bahawa SPRM tidak mengambil tindakan di bawah Akta SPRM sedangkan tidak semua kes pelangagran berakhir dengan dakwaan melibatkan rasuah. Keadaan ini membawa imej negatif ke atas agensi penguat kuasa pencegahan rasuah.

Justeru ada keperluan untuk mewujudkan undang-undang khas bagi menangani salah laku penjawat awam.

Jika terdapat undang-undang yang membolehkan sesetengah kes dibawa ke mahkamah sebagai salah laku ketika menjawat kedudukan awam sudah pasti ia akan memudahkan skop tindakan perundangan, dan pada masa yang sama akan meningkatkan kefahaman orang ramai termasuk anggota pentadbiran awam.

Perkara yang digariskan tadi hanya beberapa peruntukan terbaharu yang diperlukan untuk memperkukuhkan institusi pencegahan rasuah di negara. Kemungkinan ada banyak lagi perkara yang perlu diambil kira. Sudah tiba masa keperluan ini diberi pertimbangan mendalam sebagaimana dizahirkan oleh Tan Sri Abu Zahar.

JKMR berpandangan bahawa meskipun beberapa syor dan cadangan telah dikemukakan untuk penambahbaikan undang-undang pencegahan rasuah, tetapi sehingga kini masih belum dibawa ke Parlimen dan dilaksanakan.

Perkara yang sama telah ditekankan oleh Tan Sri Abu Kassim ketika menerima Ijazah Doktor Kehormat (Undang-undang) daripada Universiti Teknologi Mara pada Mei yang lalu. Selaku bekas pegawai pencegahan rasuah saya telah berpeluang untuk berinteraksi dengan pegawai-pegawai SPRM ketika mereka sedang mengharungi krisis dan suasana paling getir ini. Saya dapat memahami emosi dan harapan mereka. Sebahagian besar berhadapan dengan kesan akibat krisis ini.

Kita perlu melakukan sesuatu. Semua pihak ada peranan dan tanggungjawab. Kita perlu mewujudkan satu jaminan bahawa SPRM ada peruntukan atau kemudahan khusus untuk menjamin kebebasan. Oleh itu, sudah sampai masanya beberapa peruntukan yang disyor dan dijanjikan oleh kerajaan dalam manifesto pilihan raya umum ke-13 dilaksanakan. Kini masa untuk meningkatkan kebebasan dan tahap profesionalisme SPRM.

Saya pasti jika ia dilaksanakan ia tidak akan merugikan kerajaan. Sebaliknya akan membantu meningkatkan paras keyakinan dan kepercayaan. Maka, ambil segala langkah yang perlu untuk menjamin kebebasan penuh bagi SPRM jika kita hendak meninggalkan satu persekitaran bebas rasuah dan berintegriti demi generasi akan datang.

Sebagaimana sering ditekankan oleh JKMR dan empat panel bebas lain yang memantau SPRM, kerajaan wajar memikirkan secara serius untuk mewujudkan suatu mekanisme yang sewajarnya bagi mengatasi persepsi negatif ini.

* Datuk Razak Idris merupakan Presiden Persatuan Bekas Pegawai SPRM

Tiada ulasan: