[ULASAN] Sebagai ulama, Dr Yusuf al Qaradhawi pasti tidak mahu membuat sebarang rumusan tentang perkara yang beliau tidak mempunyai maklumat lengkap; lebih-lebih lagi bersabit soal kemelut politik di negara asing seperti Malaysia.
Justeru jika ada perbedaan pandangan dalam soal siasah di mana-mana
negara Islam termasuk Malaysia, sudah pasti beliau akan mengambil sikap
selamat seperti yang ditetapkan oleh al-Quran.
“Dan apabila ada dua golongan orang mukmin berperang, maka damaikanlah
antara kedua-duanya. Jika salah satu daripada kedua-duanya menzalimi
golongan yang lain, maka perangilah golongan yang berbuat zalim itu,
sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah.
“Jika golongan itu telah kembali (pada perintah Allah), maka
damaikanlah antara kedua-duanya dengan adil, dan berlakulah adil.
Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.” (Al Hujurat
ayat 9).
Sehubungan
itu dalam proses memahami duduk perkara sebenar persaingan politik di
antara PAS dengan Parti Amanah Negara (Amanah), sudah tentu proses
menyaring maklumat berhubung isu berkenaan menjadi langkah utama oleh
ulama tersohor itu.
Lantas rumusan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, bahawa oleh
kerana Dr Yusuf tidak membangkitkan soal halal haram penubuhan Amanah
dalam konteks dakwah dan politik Islam Malaysia, maka penubuhan Amanah
adalah halal dan wajar, bolehlah dianggap agak terburu-buru.
Dalil
yang digunakan oleh Salahuddin ialah, apabila naib presiden partinya,
Datuk Dr Mujahid Yusuf mengunjungi Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia
itu perkara berkenaan tidak berbangkit maka tidak ada ruang untuk
mempersoalkan kewajaran penubuhan Amanah dalam iklim politik Malaysia.
“Datuk Dr Mujahid Yusuf telah bertemu sendiri dengan Prof Dr Yusuf Al
Qaradhawi di Doha, Qatar pada 17 Oktober. Dalam pertemuan itu tidak
disebut langsung tentang haramnya wujud sebuah parti Islam lain selain
daripada PAS.
“Bahkan kami berbincang perkara prinsip tentang kejelasan fikrah Islam,
kerana bimbang terjerumus kepada pemikiran awal ISIS atau seumpamanya.
“Lalu Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi menyokong usaha untuk membetuli salah
faham ini di kalangan pengamal politik Islam,” kata Salahuddin dalam
kenyataannya.
Timbalan Presiden Amanah itu menyatakan demikian sebagai reaksi kepada
kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang bahawa Dr
Yusuf al Qaradhawi menganggap haram menubuhkan sebuah parti Islam lain di Malaysia selagi masih ada PAS.
Mungkin Haji Hadi sudah mendahului Dr Mujahid berhubung dengan Dr Yusuf
mengenai isu pengwujudan dua buah parti Islam di Malaysia. Namun
mungkin juga komen yang diberikan oleh Dr Yusuf itu lebih bertolak
daripada kaedah hukum berjemaah belaka.
Hujah
Dr Yusuf kepada Naib Presidennya dalam Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu
mungkin lebih am sifatnya.
Bahawasanya lebih banyak mudarat daripada
manfaat di segi politiknya jika umat Islam Malaysia dibelah bahagi oleh
dua entiti politik. Maka keadaan itu mungkin mengakibatkan status parti
baru itu menjadi haram.
Haji Hadi pula melambungkan kemungkinan hukum penubuhan Amanah itu
haram demi membuka ruang seluas-luasnya bagi umat Islam Malaysia
mengamati semua kemungkinan akibat usaha mewujudkan persaingan sesama
pengundi Islam dalam politik Malaysia yang sedang bergelora kini.
Perkara ini perlu dipertimbangkan semasak-masaknya kerana sudah tentu
juga Dr Yusuf juga tidak mahu menimba maklumat yang salah daripada
mana-mana pihak yang “merujuk dan mengadu” kepada beliau dalam isu ini.
Sudah pasti pendirian Dr Yusuf ini berpandukan peringatan Allah dalam Surah Al-Hujurat, ayat keenam:
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa
suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan
suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang
menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”.
Dr Yusuf memerlukan lebih banyak maklumat sahih berhubung persoalan
dua entiti politik Islam yang kini mengorak langkah untuk menundukkan di
antara satu dengan lain dalam medan politik Malaysia.
Di satu segi tentu Dr Yusuf lebih cenderung untuk mempercayai naib
presidennya dalam Kesatuan Ulama Sedunia. Bagaimanapun beliau juga wajib
mendengar hujah daripada Dr Mujahid. Lantas tidak perlu menghukum
apabila menerima ziarah anak bekas presiden PAS itu.
Namun kedua-dua pihak perlu mendekati pakar rujuk Islam kontemporari
itu dalam forum yang lebih terbuka yang disertai kedua-dua pihak.
Maka adalah wajar bagi PAS dan Amanah berusaha mempelawa Dr Yusuf ke
Malaysia dalam satu multaqa atau apa jua forum yang munasabah supaya
boleh beliau membuat penelitian lebih rapi dan rumusannya sendiri.
Apakah ada cara lebih baik daripada bertahkim dengan ulama muktabar seperti Dr Yusuf?
Mungkin Dr Yusuf juga mahu memilih untuk membentangkan isu politik
Islam yang agak rumit melanda umat Islam Malaysia ini di peringkat
Kesatuan Ulama Sedunia terlebih dahulu untuk mencari penyelesaian yang
lebih adil dan tuntas demi memastikan keharmonian politik Islamiah tidak
tercemar di Malaysia.
Atau, adakah baik PAS mahupun Amanah merasakan bahawa ulama mereka
masing-masing sudah memadai untuk membimbing umat Islam Malaysia
menyusur denai politik mereka “kerana itu adalah paling menepati waqi
atau realiti politik” di negara ini kini?
Jika demikian, tidakkah itu satu keangkuhan yang terpesong daripada matlamat berpolitik dalam Islam?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan