PASIR MAS,  Kebakaran Pondok Al Yusufiah Gelang Mas, di sini, kira-kira jam 8:30 malam tadi dipercayai memusnahkan lebih 60 buah pondok kediaman pelajar di situ.

Difahamkan, kejadian berlaku begitu cepat dan kebanyakan pondok yang menempatkan pelajar lelaki itu dibina menggunakan papan musnah kerana kedudukannya yang terlalu rapat antara satu sama lain.

Menurut saksi, ketika kejadian lebih 100 pelajar lelaki pondok itu berada di surau berdekatan kerana menunaikan solat Isyak.

Katanya, kesemua pondok yang terbakar didiami oleh antara dua hingga tiga pelajar lelaki manakala pondok yang menempatkan pelajar perempuan yang jauh sedikit dari lokasi kebakaran terselamat.
pondok terbakar 1
– Foto Bomba Kelantan
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohamad Nazri Wahab memberitahu pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 8.23 malam tadi dan bergegas ke lokasi bersama anggota dan jentera pemadam api.

Beliau berkata, kerana kebakaran besar itu sepasukan anggota bersama jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong turut dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu memadam dan mengawal api.

“Setakat ini, punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan. Dianggarkan lebih 60 buah pondok hangus dalam kejadian tersebut.

“Punca kejadian juga masih belum dapat dipastikan dan masih dalam siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Muhamad Abduh Nik Aziz turut hadir ke lokasi kebakaran sebaik mendapat tahu mengenai kejadian terbabit.