KOTA BHARU,  Lafaz taklik talak tiga yang dipraktikkan PAS Kelantan ke atas calon pilihan raya mereka berkemungkinan digugurkan.


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, langkah itu akan difikirkan, selepas mendapati ada wakil rakyat PAS yang tidak selesa dengan keadaan itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, bai’ah taat setia kepada parti untuk calon PAS tetap dikekalkan.
“Langkah untuk menggugurkan lafaz taklik itu, berikutan PAS mendapati, ada wakil rakyat berasa kurang selesa dengan adanya taklik berkenaan.

“Tindakan (PAS) mengadakan taklik selain bai’ah, ia (adalah) satu penghormatan kepada orang Islam yang bergelar isteri.

“Isteri sesuatu yang paling berharga dalam hidup (suami). Sebab itu, taklik orang tak (buat) taklik dengan buah kelapa, durian, ia mesti bertaklik dengan benda yang bernilai,” jelasnya.

Katanya, pada zaman Nabi Muhammad, para sahabat bertaklik bersumpah dengan (nama) ibu dan bapa.

“Alhamdulillah, kita istiqamah dalam hal ini dan oleh kerana itu, taklik mungkin dibuang (digugurkan), (tapi) bai’ah diteruskan,” katanya selepas perasmian penutup Program Ijtimak Ulama Nusantara, pada Ahad malam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada baiah dan taklik ke atas isteri diteruskan untuk calon PAS yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Taklik itu hanya dikenakan ke atas calon PAS di Kelantan, untuk memastikan wakil rakyatnya tidak meninggalkan parti dengan sewenang-wenangnya.

Sebelum ini, dua wakil rakyat PAS, iaitu Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar yang dikatakan terikat dengan taklik itu, masing-masing berhijrah ke Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR.

Tindakan Mohd Hatta sebagai wakil rakyat PAS pertama di Kelantan yang menyertai Amanah, telah mencetuskan isu, apabila perkahwinan dengan isterinya terbubar dengan talak tiga.

Abdul Hadi berkata, taklik itu dilakukan, selain bai’ah untuk calon parti itu di Kelantan, bermula 1995, ketika PAS memerintah bersama Parti Melayu Semangat 46 (S46), menerusi kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Ketika itu, katanya, ramai wakil rakyat meninggalkan kerajaan APU dan menyertai Barisan Nasional (BN), sehingga satu ketika PAS hanya mempunyai kelebihan satu kerusi untuk memerintah negeri itu.

“Sekarang, kita lihat di Kelantan (PAS) sudah kukuh dan wakil rakyat kita sudah istiqamah, calon-calon kita sangat patuh kepada parti, berbanding pada masa lalu. Jadi, terserah pada negeri masing-masing (gugur atau kekal) taklik ini,” katanya.

Ditanya adakah PAS kini bersih daripada ahli tidak istiqamah terhadap perjuangan parti itu, beliau berkata, PAS tidak melakukan pembersihan terhadap mereka yang bersikap demikian.

“Nampaknya yang membersihkan bukan kita, tuhan (Allah) yang bersihkan (parti itu daripada golongan tidak istiqamah),” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang, Terengganu.