Sabtu, 10 Oktober 2015

Kepercayaan rakyat musnah akibat BN yang mungkir janji



Oleh Alyaa Alhadjri


Jelas bahawa rakyat semakin hilang keyakinan dan kepercayaan kepada pentadbiran, apabila begitu banyak janji yang dimungkiri kerajaan Barisan Nasional.

Tempat teratas dalam senarai ini tentunya janji Perdana Menteri Najib Razak untuk memulakan reformasi sivil dan ikrarnya bahawa undang-undang lapuk seperti Akta Hasutan 1948 tidak akan disalahguna.

Tangkapan terhadap bekas ketua Umno Batu Kawan Khairuddin Abu Bakar di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) juga mencetuskan kebimbangan sejumlah 38 pertubuhan masyarakat sivil, yang undang-undang itu telah disalahgunakan untuk menjaga kepentingan pihak tertentu.

“Sosma pada asalnya dibentangkan oleh kerajaan sebagai langkah anti-keganasan dan keselamatan negara, dan ia membenarkan tahanan tanpa bicara selama 28 hari. Tiada tuduhan atau bukti yang menunjukkan Khairuddin memiliki latar belakang keganasan.

“Sebaliknya Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata dengan jelas bahawa Khairuddin ditahan kerana membuat laporan di Hong Kong, Switzerland, Perancis dan United Kingdom berhubung skandal kewangan melibatkan 1MDB,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Dalam sidang media 7 Oktober lalu, presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) Ambiga Sreenevasan berkata, walaupun ketika Akta Keselamatan Dalam Negeri digubal dahulu, ia dengan janji bahawa hanya digunakan terhadap pemberontak komunis.

“Janji ini juga termaktub di bawah Seksyen 4(3) Sosma, yang menyatakan tiada siapa yang akan ditahan hanya kerana kegiatan dan pegangan politik mereka,” katanya lagi.

Ambiga berkata lagi, sebab penahanan Khairuddin juga tidak jelas.

CEO Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) Saifuddin Abdullah berkata, beliau percaya tindakan itu diambil bagi menakut-nakutkan ahli Umno yang lain.

“Pemimpin tertinggi Umno mahu memastikan beliau (Khairuddin) menutup mulut, pada masa sama menimbulkan ketakutan pada ahli Umno agar turut menutup mulut mereka.

“Pimpinan tertinggi faham bahawa secara praktikalnya, Umno-lah yang boleh menjatuhkan perdana menteri,” kata ahli Umno tersebut.

Beliau kini berhadapan kemungkinan tindakan disiplin kerana menghadiri majlis pelancaran Pakatan Harapan.

Saifuddin berkata lagi, kini masa untuk melihat jika kerajaan mengamalkan dwi-piawai dalam menggunakan Sosma.

“Saya tidak takut (untuk ditangkap) tetapi adakah mereka berani menahan Dr Mahathir Mohamad?” katanya lagi.

Khairuddin dikenali sebagai penyokong Mahathir. Beliau ditahan pada 23 September lalu selama 28 hari di bawah Sosma selepas ke beberapa negara untuk meminta pihak berkuasa luar menyiasat 1MDB.

Ini berikutan siri laporan akhbar US, Wall Street Journal yang berhubung kegiatan meragukan melibatkan syarikat pelaburan milik negara tersebut.

Sementara itu pengarah eksekutif Institut Rakyat Yin Shao-Loong berkata, tiada keperluan untuk menahan mana-mana individu tanpa bicara jika ada bukti cukup untuk mendakwanya di mahkamah dengan undang-undang sedia ada.

Tambahnya lagi, pada masa ini, satu-satunya cara yang boleh digunakan untuk menyingkirkan Najib adalah melalui Umno sendiri.

“Semua mekanisme kebertanggungjawaban yang boleh digunakan terhadap perdana menteri telah diruntuhkan. Malah langkah undi tidak percaya di Parlimen juga telah ditolak Speaker, walaupun tindakannya itu boleh diperdebatkan.

“Satu-satunya proses yang tinggal adalah untuk Umno – parti pemerintah – menyingkirkan pemimpin mereka,” katanya lagi.

Setiausaha agung Umno Tengku Adnan Mansor sebelum ini menimbulkan tanda tanya ketika berkata Umno memantau “tujuh pemimpin” yang mungkin melanggar peraturan parti.

Antara nama yang disyaki adalah Saifuddin sendiri dan tokoh veteran Umno Sanusi Junid. Kedua-duanya secara terbuka berkata yang mereka tidak takut untuk bersuara.

Berbanding menimbulkan ketakutan terhadap ahli Umno, barangkali tindakan terbaru itu hanya menguatkan persepsi bahawa Najib seorang pemimpin yang takut dengan bayang-bayangnya sendiri. - theantdaily.com

Tiada ulasan: