Oleh Aziz Bari
Sehinggalah Majlis Raja-raja mengeluarkan kenyataan mendesak isu 1MDB diselesaikan secepat mungkin pada 6 Oktober lalu, ramai di kalangan kita yang kian merasakan kemungkinan untuk Perdana Menteri Najib Razak disingkirkan melalui undi tidak percaya di Parlimen semakin surut.
Walaupun ada yang
merasakan kenyataan tegas Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Syed Danial
tidak membawa sebarang kesan - memandangkan penglibatan besar majoriti
keluarga diraja kita dalam perniagaan dan kewangan, apa yang berlaku
selepas itu agak signifikan.
Perkembangan yang menarik perhatian itu adalah arahan untuk mengembalikan RM7.5 bilion pemindahan yang dibuat 1MDB kembali ke dalam negara. Arahan tersebut dibuat Bank Negara Malaysia dan dikeluarkan selepas Pejabat Peguam Negara sekali lagi membersihkan 1MDB daripada apa-apa kesalahan.
Kembali
kepada kenyataan Raja-raja - bekas perdana menteri Dr Mahathir
Mohamad, DAP dan bekas TPM Muhyiddin Yassin memberikan sokongan mereka.
Malah kerajaan sendiri, melalui jurucakapnya Abdul Rahman Dahlan,
berhadapan kesukaran untuk mengabaikan kebimbangan yang disuarakan
Raja-raja ini.
Tidak kurang menarik juga apabila kenyataan tersebut turut dilaporkan media asing, termasuk New York Times.
Perlu
disebut bahawa TPM Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi menghentam usul
tersebut, selepas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata
polis tidak akan mengambil sebarang tindakan selagi rancangan itu tidak
melibatkan jenayah.
Khalid berkata
demikian pada 24 Ogos lalu, tidak lama selepas Zahid mendakwa ada
rancangan yang didalangi seorang “tua yang bercita-cita tinggi”.
Pemerhati politik percaya yang Zahid mensasarkan tokoh veteran Umno Tengku Razaleigh
Hamzah, yang mengaku beliau ada berjumpa dengan Mahathir.
Apa-apa pun,
kerabat diraja Kelantan itu kemudiannya berkata beliau tiada masalah
dengan Najib.
Semua orang kini sudah
menerima hakikat bahawa Najib tidak boleh lagi disingkirkan melalui
Umno, memandangkan pemilihan parti itu sudah ditangguhkan.
Harapan
untuk menyingkirkannya melalui undi tidak percaya pula berhadapan
halangan apabila Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia berkata usul
tersebut bergantung kepadanya selaku “penjaga” bagi setiap usul yang
ingin dibentangkan.
Ia menyebabkan
kebuntuan kerana kita tentunya masih ingat bagaimana Pandikar memainkan
peranannya untuk menghalang usaha menjatuhkan kerajaan Abdullah Ahmad
Badawi melalui cara yang sama pada tahun 2008.
Namun
senario sekarang berbeza. Walaupun tanpa Anwar Ibrahim untuk memimpin
pembangkang, keadaan Umno sekarang tidak lagi bersatu; terutama selepas
pemecatan pemimpin yang bersuara terhadap Najib, seperti Muhyiddin dan
Shafie Apdal.
Malah Mahathir sudah banyak kali menggesa ahli parlimen Umno-BN untuk menjatuhkan Najib demi menyelamatkan negara.
Kita
perlu ingat, berbeza dengan 2008, birokrasi hari ini tidak lagi kukuh
di belakang kerajaan. Pemindahan secara tiba-tiba yang melibatkan
pegawai kanan polis dan SPRM serta pelepasan jawatan Abdul Gani Patail
sebagai peguam negara telah menjejaskan pentadbiran Najib.
Maka
di situlah terletaknya kepentingan kenyataan tegas oleh Majlis
Raja-raja. Dari satu sisi, ia boleh dilihat sebagai undi tidak percaya
Raja-raja Melayu terhadap pentadbiran Najib.
Mungkin
ada yang mengatakan ia hanyalah kejadian terpencil. Namun kerana ia
jarang berlakulah kenyataan tersebut dianggap signifikan. Jika
Raja-raja sering mengeluarkan kenyataan seperti ahli parlimen
pembangkang, tiada siapa yang akan memberikan perhatian.
Dengan
tindakan Bank Negara yang secara bersopan mengatakan 1MDB tidak
bertindak dengan betul, kini hanya peguam negara yang tinggal untuk
mempertahankan Najib. Ini juga akan meletakkan Speaker dalam keadaan
berbelah bahagi.
Beliau tentunya akan terus menggunakan kuasanya untuk mematahkan apa-apa usul yang cuba dibawa.
Namun
dengan mengambil kira perkembangan terbaru, tentu sukar bagi Pandikar
untuk menjustifikasikan tindakannya. Beliau akan dilihat
menyalahgunakan kuasa – untuk membela sesuatu yang tidak lagi boleh
dipertahankan.
Apatah lagi apabila
apa yang beliau perlu lakukan sekarang hanya membenarkan sahaja proses
pencarian kebenaran ini untuk berjalan. Ini adalah pertimbangan yang
membuatkan hari-hari menjelang sidang Dewan Rakyat yang akan bermula
pada 19 Oktober ini penuh dengan debaran.theantdaily.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan