Jumaat, 16 Oktober 2015

Kenapa Nak Takut Orang Melayu Bertemu

RAKYAT NEWS




Pelbagai spekulasi berlegar apabila Pas mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Kuala Lumpur semalam. Kunjungan hormat oleh Perkasa itu turut mengembalikan nostalgia kepada Presidennya, Datuk Ibrahim Ali yang pernah bertanding atas tiket Pas dalam pilihan raya umum 2008.

Ibrahim memeluk erat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Tiada apa yang mengejutkan kerana sudah menjadi adat dalam politik, tiada musuh dan kawan yang kekal apatah lagi melibatkan antara sesama Islam.

Bagaimanapun, penulis tidak berhasrat melihat pertemuan antara dua pihak itu dari sudut politik. Apa yang lebih penting daripada itu, ini sekurang-kurangnya membuka jalan untuk mencari satu titik pertemuan dan persamaan kepada seluruh orang Melayu tanpa mengira parti apa atau pertubuh­an mana mereka anggotai.

Sesungguhnya pertemuan itu amat bermakna kerana diadakan sehari sebelum umat Islam menyambut kehadiran tahun baharu Hijrah yang temanya Perpaduan Nadi Transformasi Negara. Oleh itu, tiada mana-mana pihak perlu gelisah tidak tentu pasal apabila melihat Perkasa bertemu Pas. Sebaliknya, mereka perlu bersyukur kerana sekurang-kurangnya ini memberi isyarat bahawa orang Melayu dalam apa keadaan sekalipun ibarat air yang dicincang tidak akan putus.

Penulis percaya demi orang Melayu dan umat Islam, Perkasa bukan sahaja bersedia duduk semeja dengan Pas malah dengan mana-mana juga parti Melayu termasuklah UMNO. Sebelum ini pun, Perkasa pernah mengadakan pertemuan demi pertemuan dengan pemimpin UMNO.

Apa yang lebih penting untuk kita berbincangkan adalah sejauh manakah pertemuan itu akan memberikan manfaat kepada seluruh orang Melayu secara keseluruhan.

Dalam soal kerjasama politik, biarlah masa dan keadaan menentukannya. Lagipun Pas sendiri melalui Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Mustafa Ali menjelaskan parti itu terbuka untuk menjalin kerjasama politik dengan mana-mana parti pada pilihan raya umum akan datang termasuklah UMNO.

Tumpuan pada masa ini adalah bagaimana untuk menyatukan orang Melayu supaya mereka bersama-sama bangkit memperjuangkan sesuatu isu yang menyentuh hak dan kepentingan mereka serta mempertahankan kesucian agama Islam. Kenapa perlu takut apabila parti dan pertubuhan Melayu mengadakan pertemuan? 

Kenapa perlu bimbang apabila mereka boleh duduk semeja berbincang? Soal mereka bersetuju atau tidak dalam sesuatu perkara yang diperbincangkan ia soal kedua, paling penting berbincang dahulu.

Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 159 bermaksud; “Maka disebabkan rahmat Allahlah, engkau bersikap lemah lembut terhadap mereka. Seandainya engkau bersikap kasar dan berhati keras. Nescaya mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu, maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan tertentu. Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal kepadaNya”.

Begitulah juga dalam soal penyatuan orang Melayu. Mana-mana pihak tidak boleh berputus asa atau menunjukkan ego tidak bertempat. Selagi mereka adalah orang Islam menghadap kiblat yang sama dan menyembah Allah yang satu maka wajib usaha dilakukan bagi menyatukan mereka.

Mungkin soal kepentingan dan ideologi politik sering sahaja menjadi halangan, tetapi cubalah lihat pihak-pihak lain apakah mereka berpecah belah atau bertelingkah dalam soal kepentingan kaum dan agama mereka? Oleh itu, kenapakah orang Islam mahu menjadikan perbezaan fahaman itu sebagai batu penghalang? Kenapakah perlu setiap pertemuan antara orang Islam mahu dilihat dari segi politik?

Dalam keadaan orang Melayu sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuklah keberanian luar biasa sesetengah pihak memperlekehkan mereka maka adalah perlu jalan dicari supaya orang Melayu bersatu.

Tindakan yang dilakukan oleh Perkasa seharusnya dipuji. Kalau mahu mengikut ‘rajuk politik’ sudah lama Ibrahim tidak akan bersedia berjumpa Pas atau Abdul Hadi tidak akan sudi melihat muka Ibrahim, tetapi kedua-dua pemimpin ini memikirkan soal kepentingan orang Melayu dan umat Islam sebab itulah mereka bertemu. Apa yang mereka capai dalam pertemuan tersebut tidak perlu menjadi perdebatan. Tetapi ia sekurang-kurangnya memberikan isyarat kepada mana-mana pihak bukanlah mustahil untuk orang Melayu duduk semeja berbincang dan mencari titik persamaan antara mereka.

Perjuangan menyatukan orang Melayu turut dilakukan oleh UMNO. Sebab itulah pemimpin-pemimpin UMNO sering menekankan betapa pentingnya orang Melayu bersatu kerana perpecahan sesama mereka hanya akan menyebabkan orang Melayu menjadi lemah.

Tetapi malangnya apabila UMNO mahu orang Melayu bersatu atau mengajak mana-mana pihak untuk bersatu maka parti itu akan dikecam. Parti itu akan dituduh berada dalam keadaan lemah sebab itulah mereka mahu bekerjasama dengan pihak lain.

Tafsiran seumpama ini harus dihentikan kerana tidak akan menguntungkan orang Melayu. Sudah sampai masanya orang Melayu mencari titik persamaan antara mereka. Mahu bertarung dalam pilihan raya demi merebut kerusi, tidak ada salahnya kerana itulah amalan demokrasi tetapi janganlah kita terus berpecah belah sehingga terlupa kesannya kepada anak cucu kita.

Ingatlah, banyak pihak sedang menanti orang Melayu berpecah belah, sebab itulah media-media pro kelompok tertentu memberi gambaran bahawa tidak begitu elok berhubung pertemuan Pas dan Perkasa. 

Mereka memberi isyarat orang Melayu sedang bersatu dan ini bagi mereka tidak elok kerana kalau orang Melayu bersatu maka golongan itu akan menjadi kuat dan sekali gus menjadi penghalang kepada sebarang usaha bagi melemahkan kuasa politik orang Melayu.

Justeru diharapkan pertemuan seperti mana berlaku antara Pas dan Perkasa akan diteruskan pula dengan parti dan pertubuhan Melayu lain sehinggalah kita menyaksikan semua orang Melayu tanpa mengira fahaman politik atau perbezaan pertubuhan yang disertai akan duduk semeja berbincang demi masa depan orang Melayu.

Percayalah niat yang baik pasti diberkati Allah, apatah lagi jika dibuat demi masa depan bangsa, agama dan negara agar orang Melayu tidak menjadi bangsa yang diperkotak-katikkan di tanah air sendiri.


Tiada ulasan: