Jumaat, 16 Oktober 2015

[KEMASKINI] Saifuddin masuk PKR, terpaut imej pelbagai bangsa

 Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah hari ini mengesahkan beliau menyertai PKR.
 
Saifuddin yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata hatinya terpaut dengan PKR selepas melihat kesungguhan parti itu menonjolkan imej kepelbagaian bangsa, tidak seperti parti lain.
 
"Saya percaya antara perubahan yang dilakukan ialah mengubah sistem politik yang ada, yang lebih menonjol adalah sosialisme yang merupakan modul BN, ada parti lain dalam BN dan Pakatan Harapan", katanya di Ibu Pejabat PKR, sebentar tadi, selepas secara rasminya menyertai PKR.
 
"Dalam hati ini terpaut kepada PKR yang cuba dengan serius untuk menonjolkan konsep berkenaan dalam konteks ini saya nampak PKR," ujar beliau.
 
Bercakap kepada pemberita, Saifuddin berkata beliau juga kecewa dengan kegagalan Umno menyelesaikan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion.
 
Justeru itu, Saifuddin akan meletakkan jawatan selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Pergerakan Moderat Global serta merta.
 
Saifuddin sebelum ini mendapat surat tunjuk sebab daripada Umno kerana menyertai persidangan meja bulat melibatkan parti pembangkang 22 September lalu.
 
Persidangan itu membawa kepada penubuhan Pakatan Harapan yang merangkumi PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
 
Masa depan Saifuddin dalam Umno merudum selepas tewas kepada calon PAS Nasrussin Hassan di kerusi Parlimen Temerloh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
 
Beliau juga gagal mempertahankan jawatannya sebagai ahli majlis tertinggi Umno pada pemilihan Umno baru-baru ini.
 
Walaupun tiada sebarang jawatan dalam Umno dan juga kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tetap melantik Saifuddin sebagai CEO Yayasan Pergerakan Moderat Global.
 
Bagaimanapun Saifuddin dilihat terlampau kritikal terhadap pemimpin Umno khususnya kepimpinan tertinggi dalam parti itu. 
 
Pemerhati politik menyifatkan penghijrahan Saifuddin adalah satu-satun cara untuk hidupkan semula kerjaya politiknya.
 
Sementara itu, penyertaan Saifuddin dalam PKR memberikan suntikan semangat kepada parti itu, kata presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
 
"Sudah terang lagi bersuluh kerana kemasukan itu memberikan satu suntikan baru dan memberikan impak yang baik kepada PKR", kata Wan Azizah selepas mengumumkan kemasukan bekas wakil rakyat Umno itu ke dalam PKR, dalam sidang media yang sama.
 
Turut hadir adalah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan beberapa lagi pemimpin parti itu.
 
Dalam satu sidang media berasingan, Pakatan Harapan mengumumkan akan membentangkan Bajet Alternatif pada sidang Dewan Rakyat, Rabu depan.
 
Bajet berkenaan akan disampaikan oleh Ketua Pembangkang,  Datuk Seri Dr, Wan Azizah Wan Ismail bersama Penasihat DAP, Lim Kit Siang serta Pengerusi Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.
 
Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen di ibu pejabat PKR hari ini.
 
Menurut beliau, bajet tersebut akan menumpukan kepada pendekatan jurang antara Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak.
 
Ini kali pertama Bajet pembangkang dibentangkan tanpa  kehadiran PAS.
 
 

Tiada ulasan: