Ahad, 18 Oktober 2015

Kaum India bukan ancaman kepada Melayu – Subramaniam

 
Orang Melayu kekal sebagai tonggak kuasa kerana mereka merupakan majoriti di negara ini


Subramaniam_mic_600


KUALA LUMPUR:Orang Melayu di negara ini tidak seharusnya merasa terancam dan tertindas kerana mereka merupakan kaum majoriti.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, tidak wajar bagi orang Melayu merasa seperti itu kerana jawatan tinggi di negara ini majoritinya dikuasai mereka.

“Kebanyakan pemimpin adalah dari bangsa Melayu, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri adalah Melayu. 80 hingga 70 peratus menteri Kabinet adalah Melayu dan kesemua Menteri Besar di negara ini adalah Melayu.

“90 peratus penjawat awam adalah Melayu, majoriti anggota tentera di negara ini adalah Melayu dan 98 peratus anggota polis di negara ini adalah Melayu,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Persidangan Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC di Menara Felda, Kuala Lumpur pada Ahad.

Mengulas mengenai perkara itu, Menteri Kesihatan itu berkata, sekiranya bangsa Melayu terancam, bagaimana pula dengan nasib kaum India di negara ini yang diketahui merupakan golongan minoriti.

“Bagaimana komuniti majoriti boleh kata mereka terancam. Jika mereka terancam, bagaimana dengan kita (bangsa India). Kita seharusnya menyorok di belakang rumah.

“Apa perasaan komuniti India. Sudah tentu mereka merasakan mereka tidak terlibat sama dalam pembangunan, walaupun negara ini terus berkembang pesat,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, beliau meminta orang Melayu tidak melihat MIC sebagai satu ancaman, kerana apa yang diusahakan selama ini hanyalah untuk menuntut kesaksamaan.

“Disebabkan itu kita rasa terpinggir. Jadi, kita mencari keadilan. Di dalam situasi dan masa yang mencabar ini, apabila saya bercakap dengan bangsa Cina, kita mahukan kesaksamaan agar dapat bersama-sama membangunkan negara,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: