Khamis, 1 Oktober 2015

Kadir Jasin: Ada persamaan kes Khir Toyo dan wang derma Najib

Antara persamaan itu adalah alasan politik yang diberikan oleh kedua-dua pihak dan juga dakwaan bahawa rakyat jelata tidak akan rugi apa-apa terhadap apa yang berlaku.


kadir-jasin,najib-razak,khir-toyo


PETALING JAYA: Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin melihat terdapat beberapa persamaan mengenai kes rasuah bekas Menteri Besar Selangor Dr. Khir Toyo dan juga isu wang derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, antara persamaan itu adalah alasan politik yang diberikan oleh kedua-dua pihak dan juga dakwaan bahawa rakyat jelata tidak akan rugi apa-apa terhadap apa yang berlaku.

“Dr. Khir menafikan penglibatannya tetapi Najib terus berdiam diri malah tidak menafikan pula kewujudan akaun peribadi RM2.6 bilion itu.

“Selain, para penyokong beliau (Najib) mendakwa wang itu adalah ‘derma’ daripada seorang dermawan misteri dari negara Arab,” tulisnya di blog.

Kadir berkata, sehingga kini barisan peguam Najib masih berdolak-dalik mengenai ancaman saman terhadap Wall Street Journal kerana mendedahkan isu wang derma tersebut walaupun ancaman saman itu dikeluarkan hampir tiga bulan lalu.

Beliau berkata, kes Dr. Khir juga akan menambah kebimbangan pihak yang terbabit atau dikaitkan dengan kontroversi syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, hukuman penjara selama 12 bulan terhadap Dr Khir juga memberi kesan psikologi yang positif kepada rakyat jelata.

“Rakyat dapat melihat bahawa tidak ada sesiapa pun berada di atas daripada undang-undang (above the law). Selain, pemimpin politik juga masih boleh disiasat, didakwa dan didapati bersalah mengikut undang-undang negara,” katanya.

Tiada ulasan: