Khamis, 29 Oktober 2015

‘Jangan sesekali sebut Umno retak’

ABDUL RAHMAN DAHLAN
ABDUL RAHMAN DAHLAN


KUALA LUMPUR - Pimpinan dan ahli Umno boleh berbeza pandangan namun mereka tertakluk kepada disiplin dan Perlembagaan parti Melayu itu.

Demikian kata Ahli Majlis Tertingginya, Datuk Abdul Rahman Dahlan sambil menegaskan kebebasan itu perlu disuarakan dengan menggunakan saluran yang betul.

"Umno sentiasa kukuh kerana cara ini, tiada parti politik boleh bertahan jika disiplin tidak diambil berat.

"Disiplin adalah sebahagian dari Umno, ianya terpakai kepada semua pihak yang berada dalam parti ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kemunculan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Bicara Minda Sinar Harian bertajuk 'Berani Kerana Benar' di Johor Bahru pada Sabtu lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tak mungkin saya gunting dalam lipatan]

Pendedahan dan kritikannya terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak itu merupakan kali pertama dilakukan Muhyiddin di luar program Umno seperti sebelum ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman menafikan tindakan Muhyiddin itu menggambarkan perpaduan dalam Umno semakin rapuh.

"Jangan sesekali sebut (Umno) retak," tegasnya.

Abdul Rahman berkata lagi, perbuatan Muhyiddin itu boleh dijadikan asas untuk merujuk Ahli Parlimen Pagoh itu ke Biro Disiplin Umno.

"Kita lihat nanti, lihat kepada kes disiplin sebelum ini, saya percaya ada asas untuk merujuk beberapa individu dalam masalah disiplin parti," ujarnya.

Ditanya tentang tindakan sama boleh dikenakan ke atas Tun Dr Mahathir, beliau menegaskan negawaran itu juga tertakluk peraturan sama jika beliau masih ahli Umno yang sah.

"Jika dia masih ahli Umno, beliau tertakluk kepada peraturan yang sama dan seperti orang lain dalam Umno," katanya lagi.


Tiada ulasan: