Sabtu, 24 Oktober 2015

Gesa selaraskan lafaz bai’ah Pas

Pas


KUALA TERENGGANU – Pertimbangan untuk memansuhkan bai’ah taklik talak tiga yang dilafazkan calon-calon Pas dalam PRU khususnya di Kelantan diterima baik dalam memastikan penyelarasan lafaz bai’ah di seluruh negara.

Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Terengganu, Azman Shapawi Abd Rani berkata, ia bagaimanapun tidak bermakna calon-calon di negeri ini boleh memandang ringan lafaz baiah berhubung taat setia kepada parti walaupun lafaz taklik tersebut dimansuhkan selepas ini.

Menurutnya, lafaz bai’ah sedia ada adalah perkara besar dan merupakan sesuatu yang berat kerana ia merupakan sumpah dengan nama ALLAH.

“Mungkin lafaz taklik ini perlu difikir supaya selaras seluruh negara. Walaupun calon terikat dengan bai’ah yang asal tetapi ia bukan bermakna mereka boleh buat main-main kerana dalam lafaz bai’ah itu disebut akan dilaknat oleh ALLAH dan sekalian makhluk.

“Kalau lafaz taklik, ia dengan isteri sahaja tetapi kalau bai’ah ia melibatkan laknat ALLAH yang boleh berlaku dengan pelbagai cara. Itu perkara yang besar,” katanya.

Beliau memberitahu bahawa tambahan lafaz taklik talak tiga dalam bai’ah hanya terpakai di Kelantan ketika zaman Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, tambahan lafaz itu dibuat bagi mengikat calon-calon dan mengelak tindakan ‘dibeli’ pihak tertentu berikutan Pas menghadapi saat genting di negeri tersebut pada waktu itu apabila bertahan dengan lebihan satu kerusi dibandingkan BN.

Bagaimanapun katanya, senario sejak akhir-akhir ini memperlihatkan Pas kembali kuat dan bersemangat untuk mempertahankan serta mempertingkatkan kekuatan sedia ada.

“Perkembangan yang berlaku baru-baru ini memperlihatkan Pas kuat dan mungkin memadai dengan bai’ah biasa yang dilafaz calon-calon di negeri lain. Sebenarnya bai’ah ini tidak salah tetapi apabila ramai yang tidak faham, timbul perkara negatif kepada Pas,” katanya.

Beliau juga tidak bersetuju tindakan segelintir calon Pas pada PRU13 yang telah menyertai parti lain dan menebus sumpah bai’ah termasuk memberi makan 10 orang miskin.

Menurutnya, calon tersebut sebenarnya tidak terlepas daripada bai’ah itu kerana ia bukan hanya melibatkan soal calon itu sahaja, sebaliknya turut melibatkan perjanjian dengan ALLAH serta orang ramai terutama pekerja parti yang turun padang, menghabiskan tenaga, wang dan sebagainya untuk memastikan kemenangan calon terbabit.


Tiada ulasan: