Khamis, 15 Oktober 2015

DUA KEMUSYKILAN TENTANG TOL

shahbudindotcom.

 
 
 
Pengguna di beberapa lebuhraya dalam bandar mulai robek poket apabila kenaikan tol tetap juga dilaksanakan oleh syarikat-syarikat konsesinya bermula hari ini.

Rayuan, bantahan dan kemarahan rakyat menolak kenaikan itu nampaknya tidak menyentuh langsung detik rasa kerajaan untuk bertindak sebaliknya. 

Sepertimana biasa, alasan yang biasa digunakan  tentang kenaikan itu ialah kerana mematuhi syarat yang sudah termaktub dengan syarikat konsesi. Kalau syarat itu tidak dipatuhi, kerajaan kena membayar pampasan kepada syarikat-syarikat terbabit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Wahid Omar berkata, kerajaan terpaksa membayar pampasan RM510 juta kepada syarikat-syarikat konsesi bagi tempoh Januari - Oktober tahun ini berikutan penangguhan kenaikan tol yang sepatutnya dilaksanakan Januari lalu.

Jumlah itu, tambahnya, lebih tinggi berbanding hanya RM430 juga bagi tahun sebelumnya.

"Sebab itulah kita terpaksa membenarkan syarikat konsesi menaikkan kadar tol," katanya sambil menambah ia dilakukan kerana terikat dengan perjanjian dengan syarikat konsesi sebelum ini.

Menteri Kerjaraya, Fazilah Yusof pula sebelum ini berkata, dengan kenaikan tol, kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaannya yang bermakna lebih banyak kemudahan awam seperti sekolah, hospital dan sebagainya dapat dibina.

Kumpulan totok Najib pula menyalahkan Tun Mahathir Mohamad dalam semua kenaikan tol itu kerana dakwa mereka, banyak perjanjian itu dilakukan ketika era pemerintahannya.

Dalam ertikata lain, apabila tol naik, mereka cuba mengatakan kerajaan dan Perdana Menteri, Najib Razak tidak bersalah sama sekali kerana kenaikan itu.

Kerajaan kononnya terikat dengan perjanjian dengan syarikat konsesi yang sebahagian besar daripadanya dilakukan ketika era pentadbiran Tun Mahathir lagi. Lebih dari itu, rakyat cuba disogok agar menerima kenaikan itu dengan baik kerana kononnya lebih banyak sekolah, hospital dan kemudahan awam lain akan dibina oleh kerajaan.

Sekali imbas dan sekali fikir, memang nampak logik hujah menteri dan kumpulan totok Najib itu. Bermakna, kita tena redha sajalah dengan semua kenaikan tol. 

Tetapi dua tiga kali fikir, kita akan nampak kerajaan sebenarnya seperti cuba "membodohkan" kita sebagai rakyat dan pengguna.
 
 
 
 
Pertama, kerajaan adalah pihak yang paling berkuasa dalam negara ini. Tiada individu atau syarikat yang mampu menjadi lebih kuat daripada kerajaan. Lebih-lebih lagi berkaitan dengan tol, sama ada penjanjian itu dibuat oleh pentadbiran sebelumnya atau sekarang, tidak bolehkah kerajaan menunjukkan diri mereka sebagai pihak yang benar-benar ada kuasa?

Apakah susahnya untuk memanggil syarikat-syarikat konsesi itu untuk diajak berunding bagi mengelakkan kenaikan dengan menggunakan hujah pengguna jalanraya sudah meningkat sehingga di luar jangkaan sama sekali yang mungkin tiada dalam pertimbangan ketika perjanjian itu ditandatangani?

Lagi pula, bukankah banyak syarikat konsesi lebuhraya ini dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan, kroni pemimpin dan terdapat juga adik menteri yang menjadi pemegang sahamnya?

Lebih dari itu, kebanyakan syarikat itu juga banyak bergantung kepada kontrak-kontrak kerajaan dalam perniagaan mereka seterusnya. Maka, tidak bolehkah kerajaan "main sedikit tarik tali" dan "menunjuk sedikit kuasa" dengan syarikat-syarikat itu demi kepentingan rakyat?

Menyalahkah kepimpinan terdahulu yang membuat perjanjian hanya menunjukkan kepimpinan yang ada hari ini tidak berkuasa dan tidak tahu menggunakan kuasa. Lalu, buat apa jadi kerajaan jika tak tahu menggunakan kuasa sedangkan perjanjian itu bukanlah suci seperti Al Quran yang tidak boleh diubah sama sekali?

Yang kedua, janji tidak menaikkan tol dalam bandar ini adalah janji Najib sendiri sebelum pilihanraya umum 2013 yang lalu. Jika sudah tahu ada perjanjian dengan syarikat konsesi, kenapa Najib  masih "gatal mulut" berjanji dengan rakyat mengenainya?

Apakah ia sekadar janji politik atau Najib sendiri tidak tahu mengenai perjanjian itu?  Munasabahkah sebagai Perdana Menteri, Najib tidak tahu tentang perjanjian itu? 

Sebagai orang Islam pula, tentu sekali mustahil Najib tidak tahu hukum memungkiri janji dan apakah label kepada yang berbuat demikian?

Sekali lagi, kesimpulannya mudah saja - hanya berkaitan tol saja pun kita sebagai rakyat sebenarnya sudah tiada alasan lagi untuk terus mengekalkan Najib mengetuai negara ini.
 
 
 

Tiada ulasan: