Selasa, 6 Oktober 2015

Dr Mahathir bukan pengkhianat Umno, kata Hishammuddin




Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein hadir ke majlis pembukaan Malaysian United Run di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.  – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 6 Oktober, 2015.Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein hadir ke majlis pembukaan Malaysian United Run di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Tun Dr Mahathir Mohamad bukanlah pengkhianat parti walaupun sering mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan lantang.

Menteri pertahanan itu berkata, kritikan bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu terhadap Najib yang juga presiden Umno bukanlah satu perkara baharu.

"Saya sudah beritahu dalam Twitter kadang-kala mereka yang buat tuduhan kepada perdana menteri sering mengalih tiang gol dan tuduhan ini berubah mengikut masa.

"Kalau dilihat daripada segi parti tiada (pengkhianat)," jawab Hishammuddin kepada pemberita ketika ditanya adakah tindakan Dr Mahathir menggesa pengundi di Pekan memulaukan Najib pada pilihan raya umum akan datang merupakan satu pengkhianatan. 
 
Hishammuddin berkata kritikan berterusan Dr Mahathir terhadap Najib sebelum ini tidak memberi kesan kepada Umno.

"Kalau tanya dia (Dr Mahathir) memburukkan keadaan di parti, saya rasa tidak. Kerana sebelum ini pun ada banyak tuduhan yang dilontarkan kepada presiden kita, tapi tak pecah juga parti," katanya.

Tetapi ketika ditanya apakah wajar tindakan tatatertib diambil terhadap Dr Mahathir, Hishammuddin berkata:"Itu terpulang kepada parti."

Semalam di Tawau, Sabah Dr Mahathir meneruskan kritikannya dengan berkata, individu dari Timur Tengah yang "menderma" RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib pastinya mahukan publisiti daripada derma yang dihulurkan.

Dr Mahathir berkata, perkara itu adalah "ego" seseorang yang menyumbangkan sejumlah wang sebegitu banyak.

Najib sebelum ini mendakwa wang di dalam akaunnya itu datang daripada sumbangan seorang dermawan Timur Tengah.

Hishammuddin bagaimanapun berkata, tindakan seperti itu tidak boleh diteruskan kerana ia mungkin memecahbelahkan Umno.

"Tidak patut diteruskan sebegitu rupa atau layan pihak yang berkenaan kerana boleh memecahbelahkan kita.

"Lebih-lebih lagi dalam parti," katanya.


Tiada ulasan: