Khamis, 22 Oktober 2015

Cari formula ganti baiah taklik

Abdul Fattah Harun
Abdul Fattah Harun


KOTA BHARU - Pas perlu mencari formula baharu untuk memastikan wakil rakyat di negeri ini terus istiqamah kepada parti sekiranya cadangan mansuh baiah taklik dilaksanakan.

Veteran Pas, Abdul Fattah Harun berkata, selain bersetuju cadangan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertimbangkan untuk memansuhkan baiah itu, formula baharu tersebut wajar dilaksanakan pada PRU14 nanti.

“Bagi saya patut buang taklik kerana sepatutnya Pas kena yakin, khususnya calon wakil rakyat nanti adalah yang kuat akidahnya, jadi kalau tidak ada taklik pun mereka tidak mudah lompat parti.

“Sepatutnya sudah tidak ada (taklik), dan Pas (perlu) menanam akidah yang tinggi terhadap kepimpinan termasuk calon-calon wakil rakyat supaya terus setia dengan kita (Pas),” katanya kepada Sinar Harian.

Tidak bermaksud meragui kesetiaan jemaah parti itu, namun beliau selaku Yang Dipertua Pas Rantau Panjang melihat, sudah sampai masanya sesuatu dilakukan sesuai dengan keadaan semasa.

“Mungkin juga merasakan ada tekanan, Pas juga agaknya memerhati ramai masyarakat tidak bersetuju dengan taklik sehingga menimbulkan polemik dalam rumah tangga yang dikaitkan dengan agama dan tidak mahu dilihat kejam,” katanya.

Pas katanya sudah kuat di Kelantan dan kemungkinan dengan keyakinan itu jugalah membolehkan taklik talak tiga dalam lafaz baiah dimansuhkan di negeri Serambi Makkah ini.


Tiada ulasan: