Ahad, 25 Oktober 2015

Cadangan naik cukai tindakan berani

SINAR HARIAN



Bajet 2016
Bajet 2016
 
 
KUALA LUMPUR -Cadangan kerajaan untuk meningkatkan cukai golongan berpendapatan tinggi disifatkan sebagai satu tindakan berani, kata Rakan Kongsi dan Ketua Pencukaian Ernst & Young Malaysia, Yeo Eng Ping.

Menurutnya, ini berikutan cadangan itu dibuat selepas kerajaan mengurangkan cukai pendapatan dalam Bajet 2015 serta pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana kumpulan berpendapatan tinggi ini sudah lama digesa untuk membayar cukai lebih tinggi. Malah, kami turut melihat perkembangan sama di negara lain seperti Singapura dan Jepun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pembentangan semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan cadangan lingkungan bercukai bagi kadar cukai tertinggi ditingkatkan sebanyak satu peratus kepada 26 peratus bagi mereka yang berpendapatan antara RM600,000 dan RM1 juta.

Mereka yang berpendapatan melebihi RM1 juta pula dicadangkan berdepan kenaikan kadar cukai sebanyak tiga peratus iaitu sebanyak 28 peratus, bermula tahun depan.

Mengulas lanjut, Eng Ping berkata, Bajet 2016 itu turut menjaga kepentingan kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah, menerusi cadangan inisiatif seperti meningkatkan pelbagai pengecualian, penambahan senarai barangan sifar GST yang merangkumi makanan perlu, ubat yang dikawal serta langkah berkaitan kesejahteraan kumpulan isi rumah B40.

Bagaimanapun, bagi sektor korporat, Bajet 2016 itu tidak melibatkan banyak insentif.

"Sebaliknya, hanya beberapa pendekatan dalam bidang atau sektor khusus seperti inovasi dan pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan (bagi merangsang pelaburan dan pelaburan semula bagi sektor swasta), pelancongan, pengeluaran makanan dan pembuatan," katanya.

Menurut Eng Ping, bajet kali ini turut mengutamakan beberapa langkah konsisten bagi memastikan pembangunan infrastruktur negara serta menggalakkan kesalinghubungan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi. - Bernama


Tiada ulasan: