Ahad, 25 Oktober 2015

Belanjawan kosong untuk wanita

Zuraida Kamaruddin





Bajet menonjol RM256 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri (PM) Najib Razak pada Jumaat semata-mata untuk menaikkan sokongan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan BN yang gagal.

Seperti kereta api yang terkeluar dari landasannya, begitulah keadaan BN sekarang yang ternyata tidak boleh diselamatkan lagi.

Bajet berlebih-lebihan yang dibentangkan PM semenjak pentadbirannya terbukti jauh tersasar daripada keperluan rakyat.

Wanita PKR terkejut bagaimana PM cuba untuk berdolak-dalih dengan membuat kenyataan bahawa bajet kali ini mesra rakyat sedangkan ia adalah percubaan untuk membeli rakyat.

Ini dilakukan demi kepentingan BN untuk memenangi pilihan raya Sarawak yang akan berlaku bila-bila masa sahaja lagi.

Bajet ini direka khas untuk memastikan undi kepada BN kononnya akan menggembirakan rakyat.

Bajet 2016 juga tidak menyentuh soal wanita khususnya. Tiada yang dapat dilihat membantu terutamanya dalam mengurangkan beban kewangan bagi wanita.

Walaupun Wanita PKR telah melancarkan menandatangani petisyen untuk meminta sekurang-kurangnya 50 peratus daripada BR1M patut disalurkan kepada wanita, tetapi cadangan ini diabaikan.

Bagaimana kerajaan boleh terlepas pandang 52 peratus wanita di negara ini?

Daripada untuk menyelesaikan isu hutang negara yang semakin meningkat, bajet kali ini yang meningkat adalah kerana sebahagian besar telah diperuntukkan kepada Jabatan Perdana Menteri.

Bajet SPRM dipotong

Ia langsung tidak menunjukkan untuk menaikkan nilai ringgit yang semakin susut atau menarik minat pelabur asing.

Pastinya, lebih banyak subsidi rakyat yang akan ditarik untuk membayar tanggungan hutang yang tinggi oleh kerajaan sekarang.

Terbukti bajet yang dibentangkan telah menepikan wanita. Bagaimana kita sebagai sebuah negara yang ingin menuju status negara maju pada tahun 2020 apabila tiada penghargaan ditunjukkan terhadap wanita dalam belanjawan negara?

Contohnya, kerajaan boleh mengambil inisiatif untuk memastikan perlaksanaan dasar-dasar bahawa belanjawan hanya akan diberikan kepada jabatan-jabatan kerajaan yang memenuhi kuota penyertaan 30 peratus wanita.

Wanita PKR percaya, seharusnya perlu ada jalan ke hadapan bagi mengiktiraf wanita dalam pembangunan sesebuah negara.

Ia adalah satu kerugian yang besar kepada negara, apabila tiada langsung bajet diperuntukkan untuk melaksanakan langkah-langkah memerangi dan mengekang rasuah.

Satu kekecewaan yang sangat besar apabila bajet bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dipotong.

Wanita PKR merasakan wajar untuk memanggil semua anggota Parlimen untuk mengundi bagi menolak Bajet 2016.

Kami memerlukan pentadbir yang dan tahu bagaimana untuk memacu ekonomi negara dan bukannya kecenderungan untuk merampas kekayaan negara demi kepentingan golongan elit.


ZURAIDA KAMARUDDIN anggota parlimen Ampang dan ketua Wanita PKR.


1 ulasan:

mansor berkata...

Zuraida tidak menilai dgn objektif....Najib telah memperuntukkan sejumlah besar wang bagi wanita...tak ccaya tanya Rosmah....