Sabtu, 24 Oktober 2015

Bajet 2016 cantik di atas kertas tapi...

Azmin Ali
Azmin Ali


SHAH ALAM - Bajet dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertemakan ‘Mensejahtera Kehidupan Rakyat’ disifatkan hanya cantik di atas kertas tetapi gagal di akhirnya.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat tahun ini namun pada masa sama, kadar tol dinaikkan.

“Bagaimana itu mensejahtera rakyat?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, Najib mengarut apabila mendakwa pembangkang bersetuju dengan GST dalam bajet alternatifnya.

“Saya ulang, GST ialah satu tekanan utama terhadap pendapatan gaji rakyat yang miskin. Beban cukai dikenakan lebih besar kepada rakyat biasa untuk ‘membiayai’ kesilapan pemimpin.

[ARTIKEL BERKAITAN: Najib tidak faham maksud 'zero rated']

[ARTIKEL BERKAITAN: GST : Terima kasih pembangkang ucap Najib]

“Tiada pencapaian hebat pun dengan peningkatan pendapatan melalui GST. Sudah tentu hasil meningkat sebab anda mengenakan cukai pada setiap rakyat.

“Hakikatnya, pemerintahan Najib gagal apabila beranggapan bahawa kita terselamat kerana adanya GST,” katanya.

Semalam, ketika membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat, Najib berkata, “mujur ada GST, kalau GST tidak ada, kerajaan terpaksa meminjam dan membuat hutang untuk membayar gaji penjawat awam.”

Menurutnya lagi, tanpa pelaksanaan GST, hasil negara juga akan berkurangan sebanyak RM21 bilion sepanjang tahun.


Tiada ulasan: