Jumaat, 16 Oktober 2015

Bajet 2016 Beri Peluang Rakyat Tingkat Pendapatan - Najib

RAKYATNEWS



KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Bajet 2016 yang akan dibentangkan pada 23 Oktober ini akan terus memberi peluang kepada rakyat untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup isi rumah.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, hasil satu kaji selidik yang dilancarkan 18 September lalu mendapati tiga perkara penting yang dimahukan rakyat untuk belanjawan kali ini adalah mengenai kos sara hidup, perumahan dan kehidupan di bandar serta pendidikan.

Katanya, tidak dapat dinafikan bahawa ketidaktentuan ekonomi global pada hari ini sedikit sebanyak menjejaskan kedudukan ekonomi Malaysia dan menimbulkan kebimbangan lapisan masyarakat tertentu.

"Keadaan ini juga dijangka akan berlanjutan disebabkan oleh harga minyak mentah dan komoditi utama lain yang masih di paras yang rendah serta kelembapan ekonomi dunia, terutama rakan-rakan dagangan.

"Golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) adalah golongan yang paling mudah terjejas dan memerlukan kestabilan pekerjaan serta peningkatan pendapatan bagi menampung kos pendidikan, kos pemilikan perumahan dan kos sara hidup," kata Perdana Menteri menerusi laman blog, NajibRazak.com, hari ini.

Najib berkata, Bajet 2016 akan terus menjamin peluang dan akses isi rumah B40 kepada pendidikan tinggi dan latihan kemahiran agar berpeluang memperoleh pekerjaan yang stabil dan lebih baik selain menyediakan rumah mampu milik, meningkatkan pendapatan, pemilikan kekayaan dan kualiti hidup isi rumah golongan ini.

Beliau berkata, kelestarian pendapatan isi rumah adalah penting, lantaran itu penekanan banyak ditumpukan kepada kepentingan ekonomi rakyat (People Economy), namun pada masa yang sama kerajaan perlu memastikan ekonomi modal (Capital Economy) terus bergiat cergas.

"Adalah perlu kecerdasan kedua-dua ekonomi ini dipertingkatkan untuk membawa negara ke arah kedudukan yang lebih tinggi selaras dengan negara-negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

"Kerajaan akan terus memastikan bahawa pertumbuhan ekonomi negara kekal pada landasan yang kukuh lagi stabil melalui beberapa langkah yang akan diumumkan dalam Bajet 2016 nanti," katanya.


Tiada ulasan: