Sabtu, 24 Oktober 2015

APA TUJUAN ZAHID MENGESAHKAN BAJET 2016 DENGAN PILIHANRAYA SARAWAK?

shahbudindotcom

 
 
 
Dalam banyak-banyak reaksi daripada pemimpin kerajaan mengenai Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Najib Razak semalam, yang paling menimbulkan tanda tanya dan persoalan ialah komen Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid dalam reaksinya mengesahkan Bajet 2016 itu antaranya ialah untuk memenangi pilihanraya negeri Sarawak yang bakal diadakan tidak lama lagi.

(Kita mendapat) komen positif daripada mereka (penduduk Sarawak). Ya, memang (untuk menang pilihanraya negeri Sarawak, katanya lagi.

Kenapa Zahid begitu berterus terang dan "lurus bendul" mengatakan bajet kali ini berunsur politik dan sebagai alat untuk BN memenangi pilihanraya negeri Sarawak?

Biasanya mana-mana pemimpin kerajaan, apabila mengulas mengenai sesuatu bajet, mereka hanya akan menyokong dasar atau menyebut kebaikan yang diperkenalkan dalam pembentangan itu sambil memuji langkah-langkah yang diperkenalkan didalamnya.

Ini kerana Bajet secara umumnya adalah untuk kepentingan semua rakyat tanpa mengira kecenderungan kepada mana-mana parti dan untuk pembangunan serta perkembangan ekononi negara, bukannya untuk  politik  atau alat memenangi pilihanraya.

Biasa juga kita mendengar apabila Bajet yang dibentangkan itu berdekatan dengan tarikh pilihanraya dan  ditanya sama ada ia bertujuan untuk mengekalkan kuasa, jawapan yang berhemah selalunya ialah seperti, "ia hanya kebetulan saja kerana dasar kerajaan memberi kesejahteraan kepada rakyat adalah sepanjang masa", "terserah kepada tafsiran ramai" atau "ini bukan bajet politik dan pilihanraya."

Kaitan Bajet dengan politik kepartian dan pilihanraya seboleh-bolehnya akan cuba dihindari bukan saja kerana ia medan yang berbeza, malah untuk mengelakkan tanggapan buruk bahawa seolah-olah dana kerajaan boleh disalahgunakan dengan sesuka hati.

Lebih-lebih lagi bagi yang menjawab jawatan Timbalan Perdana Menteri, periksalah rekod reaksi pemegang jawatan itu sebelum ini apabila setiap kali Bajet dibentangkan, semuanya sama ada memberi pujian kepada Menteri Kewangan atau menyambut baik beberapa intipati yang dikesan boleh memberi kebaikan kepada rakyat saja.

Tidak pernah mana-mana Timbalan Perdana Menteri sebelum ini mengatakan "bajet ini adalah untuk memenangi pilihanraya."

Tetapi nampaknya berlainan dengan Zahid yang baru beberapa bulan menjadi Timbalan Perdana Menteri di mana  di samping memperkatakan tentang kelebihan bajet itu, beliau juga secara terbuka mengesahkan antara tujuannya ialah untuk BN memenangi pilihanraya negeri Sarawak yang dijangka diadakan awal tahun depan.

Kenapa Zahid mahu begitu berbeza dan berterus-terang? Mengapa beliau mahu kelihatan berlainan nada dengan Timbalan-Timbalan Perdana Menteri sebelum ini?

Jika pihak pembangkang yang mengaitkan sesuatu pembentangan bajet dengan politik atau pilihanraya, memanglah tidak menghairankan tetapi dengan Timbalan Perdana Menteri sendiri membuat pengakuan, terasa ada sedikit peliknya.

Apakah Zahid cuba memberi gambaran bahawa Bajet 2016 yang dibentangkan Najib adalah berunsur politik yang tujuan lainnya ialah untuk kepentingan BN mengekalkan kuasanya di Sarawak?

Mungkinkah juga Zahid sedang cuba menyindir makna tema "Mensajehtera Kehidupan Rakyat" yang dipilih oleh Najib dalam bajetnya kali ini?

Ehhh...adakah burung tempua sudah mula terbang rendah untuk  mencari-cari tempat bagi membina sarangnya?


Tiada ulasan: