Jumaat, 16 Oktober 2015

Anwar sambut baik penyertaan Saifuddin dalam KEADILAN

Oleh: Ermizi Muhamad


PETALING JAYA- Ketua Umum KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim menyambut baik penyertaan bekas pemimpin Umno, Datuk Saifuddin Abdullah ke dalam KEADILAN.

Perkara itu dimaklumkan sendiri Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika ditemui pemberita di perkarangan kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini.

“Alhamdulillah, Anwar menyambut baik kemasukan beliau. Malah kita harapkan lebih ramai lagi pemimpin-pemimpin dari parti lawan menyertai kita demi menyelamatkan Malaysia,” jelas Adun Kajang itu.

Saifuddin, yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno dan bekas Timbalan Menteri hari ini mengisytiharkan keluar parti dan menyertai KEADILAN.

Perkara itu diumumkan Wan Azizah  dalam sidang media di ibu pejabat parti, sambil disaksikan barisan kepimpinan tertinggi parti itu.

Saifuddin sebelum ini pernah dilantik timbalan menteri pengajian tinggi selepas memenangi kerusi parlimen Temerloh selama sepenggal mulai 2008.

Beliau melepaskan jawatannya sebagai pemimpin Gerakan Moderat Global (GMM), satu badan yang diasaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, susulan penyertaannya dalam KEADILAN.

Beliau berdepan tekanan Umno apabila didakwa menyertai mesyuarat sekumpulan badan bukan kerajaan ke arah pembentukan gabungan baru pembangkang, Pakatan Harapan, bulan lalu.

Tiada ulasan: