Kemunculan Parti Amanah Negara (Amanah) secara rasminya pada 16 September lepas seolah-olah memberi harapan baharu buat golongan anak muda yang dahagakan politik baharu Malaysia.
Namun, sinar harapan ini tiba-tiba malap akibat insiden logo parti yang menyerupai logo sebuah syarikat televisyen di India.
Tahap keyakinan anak muda terhadap Amanah yang merosot ketika itu diburukkan lagi dengan kenyataan setiausaha agung parti yang bertegas logo tersebut akan dikekalkan.
Bagi mereka, isu logo adalah isu kecil. Nampaknya tampuk pimpinan Amanah atau generasi mereka gagal memahami anak muda hari ini.
Maka tulisan ini bertujuan memahamkan generasi tua kenapa isu logo ialah isu besar kepada generasi kami.
Generasi kami yang berumur 20-an adalah generasi yang membesar dikelilingi komputer dan gajet. Sebaik sahaja pandai membaca dan mengira, ramai sudah pun memiliki akaun emel sendiri.
Generasi tua pula (ketika itu belum tua) baharu pertama kali mengenal telefon bimbit – itu pun yang seberat 2kg dan hanya boleh membuat panggilan.
Pengalaman Internet dan emel memberi kesan yang sangat besar kepada kami yang kemudiannya belajar untuk mengenal spam, emel berantai dan segala jenis kepalsuan lain.
Malah, dengan kemunculan media sosial seperti Facebook, lebih banyak berita palsu yang disebarkan menyebabkan anak muda hari ini menjadi lebih teliti terhadap keaslian sesuatu yang disebarkan, terutamanya dengan menggunakan carian Google.
Pengalaman ini juga membuatkan anak muda mudah berasa jelik dengan karya yang tidak asli.
Justeru, adalah tidak pelik apabila sahaja logo Amanah dilancarkan, keserupaan logo itu dapat dikesan dalam sekelip mata, dan membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan anak muda terutamanya yang menaruh harapan tinggi terhadap parti itu.
Alasan “kebetulan serupa” adalah langsung tidak masuk akal terutamanya kepada mereka yang menghargai seni. Bagi hasil rekaan yang begitu besar maknanya seperti logo Amanah, ini adalah mustahil.
Pada masa yang sama, kami juga yakin Amanah bukan sengaja ingin meniru logo stesen TV tersebut seperti dakwaan sesetengah pihak.
Penjelasan yang paling rasional ialah pereka logo menggunakan aplikasi “Logo Generator” yang berlambak di ruang Internet secara percuma.
Laman sesawang dan aplikasi sebegini mempunyai algoritma mudah untuk menghasilkan pelbagai logo berdasarkan beberapa ciri generik.
Namun “Logo Generator” atau seumpamanya hanya sesuai untuk entiti kecil, bukan untuk kegunaan pertubuhan sebesar Amanah yang perlu menjaga reputasinya.
Sebuah parti politik yang ingin memerintah harus mempunyai imej yang tulen, yang dizahirkan melalui penggunaan logo hasil karya asli.
Maka langkah terbaik Amanah adalah mengakui isu logo ini adalah isu besar. Akui juga ini berpunca daripada kegagalan mereka menyemak keaslian logo itu, dan ini mencalarkan integriti sebuah parti yang meletakkan “amanah” sebagai tonggak utamanya.
Amanah tidak boleh menolak isu ini ke tepi sebagai isu picisan. Amanah juga tidak boleh menuduh ini adalah saraf musuh.
Ini juga satu lagi masalah dengan parti politik yang masih di takuk lama; apa sahaja teguran dan kritikan terhadap parti akan dibakul sampahkan sebagai saraf musuh.
Ini membunuh keterbukaan, menyuburkan “siege mentality” iaitu pemikiran semua orang adalah musuh dan sentiasa ingin menyerang kita.
Oleh itu, pimpinan Amanah perlu membuang ego mereka dan mula membuka mata dan telinga. Cukuplah memberi alasan begitu dan begini, sedangkan pimpinan Amanah sebenarnya enggan mengakui atau sebenarnya tidak sedar, mereka tidak memahami isu ini.
Jika Amanah ingin menjadi parti pilihan anak muda, maka ia perlu mendengar pandangan anak muda. Jika tidak, pimpinan Amanah sekali lagi akan ditolak oleh anak muda, sepertimana mereka pernah ditolak dalam parti lama mereka sebelum ini.
* Amir Kamal ialah ahli Parti Amanah Negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan