SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) meletakkan syarat kepada PAS
dan mana-mana parti lain yang mahu menyertai Pakatan Harapan perlu lebih
'berdisiplin dan jujur' sebagai 'syarat utama' bergabung di dalam
pakatan pembangkang baru.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad berkata, Amanah tidak membantah
usaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang masih menaruh harapan untuk
'memancing PAS' menyertai pakatan pembangkang baru itu.
"Amanah mengalu-alukan pendirian PKR untuk memantapkan Pakatan Harapan
dan bersetuju untuk membuka keahlian Pakatan Harapan kepada semua yang
berminat untuk menyertainya.
"Namun disiplin dan kejujuran dalam berpakat perlu ditekankan supaya
pihak lawan tidak akan berjaya melaga-lagakan anggota Pakatan Harapan
sepertimana mereka telah berjaya terhadap Pakatan Rakyat.
"Setiap anggota Pakatan Harapan hendaklah komited kepada Pakatan
Harapan dan jelas berhubung siapa kawan dan siapa lawan," katanya dalam
satu kenyataan di sini.
Susulan itu katanya, Amanah menyarankan supaya segera dibentuk
Sekretariat dan Majlis Presiden Pakatan Harapan supaya persoalan dasar
bersama dan kaedah pengurusan perbezaan pandangan dapat ditetapkan untuk
dipersetujui dan didukungi bersama.
"Amalan bermusyawarah demi mencapai kata sepakat dalam menangani semua
persoalan tetap merupakan dasar yang perlu diamalkan," katanya lagi.
Untuk rekod, semalam, Timbalan Presiden PKR, Mohammed Azmin Ali
berkata, masih mengharapkan PAS menyertai pakatan pembangkang baru.
Selain itu katanya, PKR juga mahu melihat keanggotaan pakatan
pembangkang baru diperluaskan kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta
parti-parti pembangkang di Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, PKR turut menggesa sekutu-kutunya dalam pakatan
pembangkang untuk menghentikan perbalahan sesama sendiri dan jangan
mencampuri urusan dalaman parti lain.
Susulan kenyataan PKR itu, Khalid berkata, ianya sekali gus menunjukkan
usaha pembinaan gabungan pembangkang yang kukuh dan bersatu demi
menangani krisis ekonomi dan kepimpinan negara yang semakin mendesak.
"Amanah mengucapkan tahniah kepada saff kepimpinan PKR atas kemampuan
mereka mencapai kata sepakat dalam suasana yang digambarkan begitu
mencabar sehingga ada yang meramalkan PKR boleh berpecah dua.
"Ini adalah bukti akan kematangan dan kebijaksanaan saff kepimpinan
PKR, di bawah Datuk Seri Wan Azizah selaku presidennya, dalam mengurus
perbezaan pandangan," katanya.
Khalid yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor berkata,
Amanah berpendirian bahawa pembinaan gabungan pembangkang yang kukuh
adalah antara keutamaan ke arah penyelesaian krisis negara.
"Ini berpaksikan keyakinan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu
digantikan dan oleh itu usaha ke arah menyatupadukan pembangkang tidak
boleh dilengah-lengahkan.
"Rakyat ingin melihat satu gabungan pembangkang yang mampu berkerjasama
dan sanggup mengenepikan perbezaan dalam usaha menyelesaikan krisis
negara yang semakin meruncing," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan