Sabtu, 11 April 2015

GST buat rakyat makin sengsara, kata timbalan mursyidul am PAS

OLEH YASMIN RAMLAN


Peserta perhimpunan anti GST, Himpunan Derita Rakyat (Hindar) anjuran PAS di Padang Merbok, Kuala Lumpur membantah cukai yang dilaksanakan sejak 1 April lalu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 11 April, 2015.Peserta perhimpunan anti GST, Himpunan Derita Rakyat (Hindar) anjuran PAS di Padang Merbok, Kuala Lumpur membantah cukai yang dilaksanakan sejak 1 April lalu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli.




























Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) membuatkan rakyat semakin sengsara kerana ia bukan saja dikenakan kepada golongan kaya, malah miskin juga, kata pemimpin PAS Datuk Ahmad Yakob hari ini.

Menteri besar Kelantan itu berkata, dengan adanya GST, kezaliman secara tidak langsung berlaku terhadap rakyat yang memang sedia menanggung kesusahan.

"Kezaliman secara tidak langsung berlaku kepada rakyat yang sedia menderita atas sebab lain.


"Yang pertamanya ialah nilai mata wang kita jatuh. Wang kita jatuh. Untuk berbelanja di Thailand pun, sudah banyak bezanya. Dan kita juga sudah jatuh ditimpa tangga," katanya. Beliau berucap di depan kira-kira 1,000 penyokong yang hadir pada perhimpunan aman anti GST yang digelar Himpunan Derita Rakyat (Hindar) anjuran PAS di Padang Merbok, Kuala Lumpur petang ini.

Ahmad yang juga timbalan mursyidul am PAS berkata, mengikut sejarah, Islam tidak membenarkan cukai dikutip daripada golongan miskin, tetapi di negara ini, orang miskin turut terkena tempias GST.
"Orang kaya kena, orang miskin pun kena," katanya.

Beliau juga melahirkan kebimbangannya jika wang kutipan hasil GST itu berlegar di kalangan orang kaya saja, yang mana ia bercanggah dengan pemahaman Islam.

"Kita bimbang pungutan ini jadi satu perkara yang bertentangan dengan Islam. Takut wang GST ini berlegar kepada rakyat yang kaya raya saja. Rakyat miskin juga menjadi menderita," katanya.

Ahmad berkata, perubahan drastik yang dapat dilihat di kalangan masyarakat umum sekarang ialah apabila jumlah pengunjung pusat beli-belah semakin berkurangan.

Beliau turut menyentuh mengenai ketirisan yang didakwanya ketara berlaku dalam negara ini, melibatkan jumlah wang berbilion ringgit.

"Rakyat sangat-sangat memerlukan pembelaan. Apabila berlakunya GST, mereka sangat-sangat terkesan," katanya.

Beliau berkata, setiap sen wang rakyat mesti dijaga.

"Sekiranya ia dijaga pihak yang bertanggungjawab, ketirisan tersebut pasti tidak akan terjadi dan nasib rakyat dapat dibela,” katanya.

Tiada ulasan: