Sabtu, 3 Januari 2015

Kedudukan Guan Eng tidak boleh dipertikai

 
Saya pasti pengikut saya tak akan buat. Pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja membangkitkan perasaan tidak senang terhadap kepimpinan kerajaan negeri.


Guang Eng DAP LOGOGEORGETOWN: Kedudukan Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri tidak perlu dipertikaikan lagi kerana dipilih rakyat dan parti, kata Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

“Walaupun ada niat mahu memilih saya sebagai ketua menteri selepas ini, ia tidak akan tercapai kerana sokongan padu diberikan kepada beliau.

“Isu ini sebenarnya tidak timbul hanya ada pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja membangkitkan perasaan tidak senang terhadap kepimpinan kerajaan negeri,” katanya sebagai mengulas beberapa kain rentang yang menyatakan beliau akan menggantikan Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ditanya adakah ia merupakan tindakan daripada pengikutnya, Kon Yeow berkata, pengikutnya tidak akan melakukan perkara sia-sia seperti itu. “Saya pasti pengikut saya tak akan buat,” katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa pihak terbabit menghentikan segera tindakan yang disifatkannya mempunyai agenda tersembunyi.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Kawalan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir berkata, tindakan tersebut mempunyai agenda tersembunyi yang mahu melihat hubungannya dengan Guan Eng renggang.

“Saya percaya, pihak yang melakukan perkara ini ada tujuan tertentu tetapi tidak tahu apa motifnya. Mereka memang ada niat yang tidak baik apabila sengaja menggantung kain rentang itu.

“Saya yakin, ada pihak cuba merenggangkan hubungan saya dengan Guan Eng sekali gus DAP. Saya minta tindakan itu tidak diteruskan lagi kerana ia tidak relevan dengan situasi di Pulau Pinang,” katanya, lapor Sinar Harian.

Terdahulu, negeri yang diterajui Pakatan Rakyat itu dikejutkan dengan kemunculan sekurang-kurangnya empat kain rentang dalam bahasa Inggeris yang bertulis ‘Support Chow Kon Yeow For Next Chief Minister’ (sokong Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri akan datang).

Tiada ulasan: