Jumaat, 7 November 2014

UMNO kini tidak berani bersuara

 
Peranan UMNO kini telah diambil alih NGO dan PERKASA kerana orang UMNO kini berada dalam ketakutan kerana dianggap sebagai ekstrem atau tidak relevan dengan pentas globalisasi.
zainuddin-maidin

PETALING JAYA : Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menyatakan UMNO kini tidak lagi bersuara lantang dan berani dalam soal yang menyentuh akidah dan maruah bangsa, terutamanya dari Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, peranan UMNO itu kini telah diambil alih oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan PERKASA kerana orang UMNO kini berada dalam ketakutan kerana dianggap sebagai ekstrem atau tidak relevan dengan pentas globalisasi.

Zainuddin berkata ini dibuktikan dengan kata-kata Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Khairul Anwar Rahmat di sebuah akhbar milik UMNO yang menyatakan bahawa ada ketikanya konsep kesederhanaan tidak sesuai digunakan terutama melibatkan perjuangan agama dan menegakkan undang-undang syariah.

Beliau berkata, walaupun kenyataan tersebut tidak menarik perhatian dan dibiarkan berlalu , ia sebenarnya merupakan suara hati rakyat akar umbi terutamanya ahli-ahli UMNO.

Tambahnya, walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berjaya dalam usahanya untuk mempromosikan imej Malaysia sebagai contoh negara Islam sederhana, tetapi ia
mendatangkan kesan negatif dalam negara hingga ke peringkat akidah, tradisi dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi telah dicabar dengan provokasi yang menjatuhkan maruah Islam di negara ini.

“Orang bukan Islam dan fanatik Kristian mengambil kesempatan ini untuk mengeksploitasi konsep ini bagi terlihat memihak kepada mereka.

“Terkini orang Islam telah digunakan untuk mendedahkan tiada kesederhanaan dalam Islam di Malaysia bila orang Islam ditonjolkan tidak boleh menyentuh anjing dan pesta arak dibantah oleh orang Islam di negara Islam ini,” katanya dalam entri terbarunya zamkata.blogspot.com.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Malaysia berkata, keputusan Peguam Negara untuk tidak mendakwa Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali kerana mengancam untuk membakar Bible dalam Bahasa Malaysia telah dicabar lantang bagi menunjukkan tidak adanya keadilan dan kesederhanaan Islam di Malaysia.

“Pengarah Urusan The Star, Datuk Wong Chun Hai telah tampil kehadapan menjadi juara dalam hal ini. Star diberikan kepercayaan oleh Datuk Najib untuk mempromosikan konsep sederhana,” katanya.

Beliau berpendapat, konsep kesederhanaan ini menyebabkan orang UMNO dan juga masyarakat Melayu serta Islam berada dalam keadaan menyerah kalah kerana takut dianggap sebagai ekstremis.

“Malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib sendiri takut untuk mempertahankan seorang Menterinya Nancy Shukri yang menyampaikan keputusan Peguam Negara itu.

“Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin tidak bersuara dalam soal penganjuran Pesta Arak dan Sentuh Anjing yang sengaja dilakukan untuk mendedahkan menerusi kebangkitan berbagai reaksi bahawa kesederhanaan bukan sifat orang Islam Malaysia,” katanya.

Katanya, sindrom sederhana ini menyebabkan Melayu dan Islam berada dalam keadaan bertahan dan pihak musuh di pihak menyerang.

“Dalam peperangan, bila berada dalam keadaan bertahan bererti berada dalam kekalahan. Inilah yang sedang dirasakan oleh orang Melayu dan Islam sekarang,” ujarnya.

Tiada ulasan: