Muhyiddin Yassin
 
 
KUALA TERENGGANU – Masa depan Umno berada dalam bahaya jika ahli-ahli parti masih berada dalam keadaan selesa dan bertindak secara biasa, apatah lagi kedudukan Umno tidak sekuat dahulu.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Umno Terengganu khususnya, diingatkan agar berfikir di luar kotak dan melakukan gerak kerja secara bersungguh-sungguh jika mahu kemenangan terus menjadi milik BN pada pilihan raya umum akan datang.

Dengan keputusan tidak sampai dua pertiga di Parlimen dan hanya menang dengan majoriti mudah di Terengganu, beliau meminta semua pihak mengatur langkah baru untuk mencapai satu keputusan luar biasa.

“Oleh itu, Umno hari ini tidak boleh diam, leka dan bergerak atas landasan biasa seolah-olah tiada apa-apa perkara luar biasa berlaku. Kalau itu tidak kita sedari, kita akan berhadapan situasi yang amat berbahaya,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Konvensyen Umno Terengganu 2014 di Hotel Primula, di sini, semalam.

Jelasnya, semua pihak perlu sedar kedudukan Umno ketika ini tidak kukuh dibandingkan masa lalu dan ini terbukti melalui beberapa bedah siasat di peringkat kepimpinan selepas pilihan raya umum lepas.

Sehubungan itu katanya, Umno perlu mengatur langkah lebih berani kerana orang Melayu masih mengharapkan parti itu membela nasib mereka.

Jelasnya, ada di kalangan mereka turut mempersoalkan sikap Umno yang tidak tegas, tidak berani dalam menyuarakan aspirasi, cita-cita serta menghadapi cabaran-cabaran baru samada dari dalam atau luar negara, sehingga menimbulkan pertanyaan pihak tertentu terhadap beliau sama ada parti itu masih relevan atau sebaliknya.

“Saya jawab ‘ya masih relevan’. Mereka berkata kalau relevan mesti berani ke depan seperti (konvensyen) pada hari ini (sebagai usaha ke arah) mengukuhkan parti kita,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyokong resolusi Konvensyen Umno Terengganu dengan rumusan ke arah memperkuatkan perpaduan dan memperkukuhkan saf barisan parti di peringkat negeri.