Sabtu, 15 November 2014

UMNO dan PAS sambut baik pemulangan Bible versi Melayu

 
Bagi masyarakat di Semenanjung, penggunaan Bible versi Melayu ini sudah tentu akan menyebabkan orang Semenanjung akan fikir bahawa ada agenda Kristianisasi.

UMNO PAS


PETALING JAYA: Langkah memulangkan Bible berbahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah disambut baik, sekaligus melambangkan sikap saling menghormati.

UMNO dan PAS menyifatkan langkah yang diambil selaras dengan jaminan kebebasan beragama yang terkandung dalam Perlembagaan selain memperlihatkan toleransi Islam terhadap kepercayaan lain.

Ahli Parlimen PAS-Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata isu berkaitan agama yang sensitif perlu diselesaikan mengikut perundingan dan perbincangan.

Beliau berkata, semua pihak harus memikirkan masa depan dan tidak memikirkan masa lalu dimana negara ini diasaskan atas semangat menghormati antara satu sama lain dimana Islam sebagai agama rasmi.

Ketika ditanya mengenai kebaikan dan keburukan daripada pemulangan bible tersebut, Mujahid berkata, dari segi kebaikan pemulangan bible itu melambangkan sikap hormat-menghormati dan toleransi Islam kepada agama lain dalam konteks kebebasan mengamalkan agama mereka.

“Ia juga melambangkan pihak berkuasa agama tidak semua menguatkuasakan undang-undang tanpa berunding.

Saya rasa pemulangan bible ini adalah hasil rundingan oleh pihak berkuasa. Pihak berkuasa agama telah menunjukkan suatu sikap yang baik berkenaan perkara ini,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Bagaimanapun, dari segi keburukannya, terdapat pihak yang akan mempertikaikan pemulangan dan wujudnya kesilapan undang-undang yang dikuatkuasakan selama ini.

“Kita juga terpaksa berhadapan dengan kelompok-kelompok yang selama ini tidak melihat hubungan agama ini dalam bentuk toleransi, maka mereka akan menjadi ekstrim.

“Terdapat juga pihak yang akan menggunakan kesempatan ini sama ada Islam atau bukan Islam untuk meningkatkan lagi ketidaksetujuan berkenaan hubungan antara agama sama ada ia telah lemah, serah diri dan tidak hormat undang-undang,” jelas beliau.

Mujahid yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat juga yakin hubungan antara agama ini akan bertambah baik mengikut lunas undang-undang.

Manakala, Exco Pemuda UMNO, Fathul Bari Mat Jahya menjelaskan, pemulangan semula 351 buah kitab Bible versi melayu itu merupakan satu penyelesaian kepada semua pihak.

Dalam pada masa yang sama, beliau turut meminta supaya pihak gerakan agama Kristian dan mubaligh-mubaligh gereja menjadikan perkara ini sebagai satu pengajaran agar perkara yang berlaku tidak berulang lagi dan akhirnya akan menjadikan sesama sendiri bergaduh.

“Saya berharap, peluang yang diberikan ini oleh Sultan sendiri, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan memulangkan kitab ini bukan bererti kemenangan kepada mana-mana pihak, seperti penganut agama Kristian menang, Islam kalah, atau sebaliknya.

“Ketua agama di negeri Selangor adalah Sultan Selangor, jadi tindakan yang diambil oleh sultan dilihat jelas untuk menjaga keharmonian negeri Selangor dan demi meraikan perbezaan agama dengan penganut agama Kristian serta dan juga pihak gereja,”katanya.

Tambah Fathul, pemulangan ini jelas menunjukkan Sultan Selangor dan juga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mencari jalan penyelesaian yang bersifat wasatiyyah iaitu mencari penyelesaian yang bersifat kesederhanaan.

“Ia dilakukan tanpa mengikut emosi sesetengah pihak. Jalan pertengahan yang diambil oleh sultan adalah untuk mengharmonikan keadaan dan itu adalah pillihan yang terbaik. Saya kagum dan menghormati tindakan JAIS dan MAIS dibawah selian Sultan Selangor sendiri,” ujarnya.

Selain itu, Fathul turut merayu agar gerakan agama Kristian yang berada di Semenanjung menghormati sensitiviti masyarakat Islam di Semenanjung.

“Soal Sabah dan Sarawak itu adalah soal lain. Mereka dalam isu kalimah Allah sudah menjadi kebiasaan bahkan, penggunaan kalimah Allah dalam masyarakat Sabah dan Sarawak ini juga sudah lama. Oleh itu, tidak timbul isu kalimah ‘Allah’ bagi masyarakat Sabah dan Sarawak,” jelas beliau.
Kerajaan Selangor telah memulangkan kitab Bible yang mengandungi kalimah Allah yang dirampas daripada Persatuan Bible Malaysia.

Sebanyak 351 kitab suci bagi penganut Kristian itu diserahkan di Istana Alam Shah dalam satu majlis pagi ini kepada Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS) ketika kunjungan hormat pengerusinya Ketua Biskop, Datuk Bolly Lapok mengad ap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tiada ulasan: