Jumaat, 14 November 2014

Tuduh sesat: Pemuda PAS tolak muzakarah, mahu debat

SALMIYAH HARUN


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menolak cadangan untuk mengadakan muzakarah sepertimana yang dicadangkan oleh Pemuda Umno Wilayah Persekutuan berhubung isu tuduhan PAS parti sesat.

Sebaliknya kata ketuanya Ir Khairil Nizam Khirudin, mereka tetap mahukan isu itu diselesaikan melalui debat dengan masing-masing perlu membawa hujah.

Menurut Khairil Nizam, pelawaan muzakarah oleh Ketua Pemuda Umno Wilayah Mohd Razlan Muhammad Rafli disifatkannya sebagai cubaan menyelesaikan tuduhan ke atas PAS itu secara gelap.

Jelasnya, cadangan muzakarah boleh dilakukan hanya melibatkan isu-isu kepentingan rakyat bukannya isu parti.

"Sekarang ini isu melibatkan parti, jadi kita hendak ianya dijawab secara ilmiah kepada rakyat.

"Isunya, Umno telah memfitnah PAS mengatakan PAS parti sesat, kemudian hendak selesai secara gelap?" soalnya kepada Harakahdaily.

Setiausaha Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini dilaporkan mendakwa PAS sebagai sebuah parti yang membawa ajaran sesat.

Ekoran itu, PAS memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Wilayah itu.
Beberapa laporna polis juga telah dibuat terhadap Tengku Adnan berhubung kenyataannya itu.

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan sebelum ini juga telah menerima cabaran debat Ketua Pemuda Umno WP bagi menjawab segala tomahan terutama kepada PAS yang dituduh sesat.

Malah Pemuda PAS telah menghantar surat jemputan secara rasmi ke pejabat Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan pada 11 November  baru-baru ini.

Melalui surat itu, mereka mencadangkan, tarikh debat itu diadakan pada 18 November bertempat di Kelab Sultan Sulaiman.

Katanya, isu ini tidak wajar untuk dibincangkan secara tertutup sebaliknya ianya lebih ilmiah jika dijadikan perdebatan.

"Kita bantai secara depan-depan, hendak bincang pun secara depan-depan. Bila dah diajak, takut. Lain kali jangan (ajak)," katanya.

Semalam, Mohd Razlan menegaskan, Umno tidak akan terima pelawaan debat dari PAS, sebaliknya bersedia mengadakan muzakarah antara dua parti tersebut.

Menurutnya, beliau lebih selesa sekiranya debat itu digantikan dengan muzakarah atau perbincangan yang diadakan secara tertutup selepas berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno 2014 pada hujung bulan ini.

“Kami akan jemput muzakarah secara tertutup antara Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (WP) dengan AJK Pemuda Umno WP.

"Muzakarah tersebut akan membincangkan adakah Umno itu kafir atau PAS itu sesat.

“Perkara ini kita akan bincang secara tertutup dan bukan mahu cari populariti semata-mata,” katanya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: