Jumaat, 21 November 2014

Syed Ali: Kok beri cadangan tak bertempat

MALAYSIAKINI



 
 
 
Seorang pemimpin bahagian Umno menyelar MP Seputeh Teresa Kok kerana membuat cadangan tidak bertempat berhubung perjalanan perhimpunan agung Umno.

Dengan nada jengkel, Syed Ali berkata MP DAP itu tidak layak untuk menentukan agar persidangan tersebut membahaskan isu melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Dia tak perlu hendak tentukan apa yang kami mahu bahaskan. Kalau kami mahu bahas (tentang 1MDB), kami sendiri akan bahaskan.

"Kalau dia mahu sangat cakap pasal itu, dia jadi ahli Umno lah," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, dalam tulisan di blognya Syed Ali berkata Kok tidak sepatutnya terus mengaitkan isu 1MDB dengan presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menjelang perhimpunan parti itu.

Menurutnya, isu itu telah dijelaskan di Dewan Rakyat sebelum ini dan ia tiada kaitan dengan Najib.

"Pembangkang buat fitnah kononnya 1MDB ada kaitan dengan Najib, ini semua fitnah jahat dan tidak berasas.

"Isu 1MDB sudah dijelaskan oleh kerajaan termasuk di Dewan Rakyat, tiada berlaku sebarang penyelewengan," tulisnya.

Syarikat pelaburan negara itu dirundung kontroversi berhubung isu jaminan kerajaan ke atas hutangnya, didakwa berjumlah RM20 bilion.

Kerajaan bagaimanapun menafikan dakwaan pembangkang, dan menegaskan bahawa jaminan nyata ke atas hutang 1MDB hanya berjumlah RM5 bilion.

MP pembangkang juga menumpukan isu dana 1MDB berjumlah RM7 bilion di bank luar pesisir dengan menuntut penjelasan kerajaan berhubung butiran kewangan tersebut.
 

Tiada ulasan: