Selasa, 11 November 2014

Siasat segera dalang isu doping Chong Wei

HARAKAHDAILY


DEWAN Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menggesa supaya suatu siasatan segera terhadap dalang di sebalik isu doping yang membabitkan pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Beberapa bulan yang lalu, sampel A didapati positif terdapat kandungan bahan yang dilarang dan sampel juga B juga menunjukkan keputusan yang sama.

DPPWP melalui ketua pemudanya Ir. Haji Khairil Nizam Khirudin menyifatkan kes ini bukan sahaja mala petaka kepada Chong Wei malah rakyat Malaysia keseluruhannya.

Yang berikut kenyataan penuh DPPWP:

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan takziah dan melahirkan rasa simpati di atas musibah yang telah menimpa ke atas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei. Datuk Lee Chong Wei telah disahkan positif dalam ujian antidoping kerana menggunakan bahan yang terlarang jenis 'dexamethasone'

Ini merupakan suatu malapetaka yang menimpa bukan sahaja kepada ikon sukan kesayangan tanah air tetapi juga turut dirasai bersama keperitannya oleh jutaan rakyat Malaysia. Justeru, DPPWP memohon jasa baik pihak yang bertanggungjawab seperti BAM untuk menyiasat latar belakang kejadian ini.

Datuk Lee Chong Wei telah beraksi atas pentas badminton di dalam mahupun di luar negara lebih seratus kali sepanjang karier beliau. Dan sepanjang itulah juga, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dalam ujian doping yang diadakan. Tiba-tiba, negara dikejutkan dengan kegagalan ujian doping Datuk Lee Chong Wei. Tanpa membuat sebarang spekulasi, DPPWP berharap kerajaan segera membuat siasatan yang mendalam bagi menangani isu ini.

DPPWP juga berharap tidak ada pihak saling menuding jari menyalahkan di antara satu sama lain. Biarlah pihak yang berwajib sama-sama menyiasat dan mencari punca di atas insiden yang mengaibkan ini. Jadikan ia sebagai iktibar. Biarlah ini merupakan insiden yang terakhir buat atlet negara dengan harapan tiada lagi insiden yang berulang selepas ini. DPPWP yakin insiden ini sedikit sebanyak memberikan kesan kepada altet negara yang lain yang sememangnya jujur dalam memartabatkan dan mengharumkan nama negara. Pihak yang berkenaan seharusnya sentiasa menjaga kebajikan para atlet bagi mengelakkan pisang berbuah dua kali.

Ia bukan sahaja mengaibkan negara malah turut memberi kesan kepada mental, maruah dan reputasi Datuk Lee Chong Wei. Bahkan dalam pengakuan beliau kelmarin, beliau menegaskan bahawa tidak pernah menggunakan bahan terlarang itu dalam sebarang kejuaraan yang disertainya.

DPPWP bersama rakyat Malaysia seluruhnya berdiri teguh di belakang Datuk Lee Chong Wei menyokong segala usaha demi memastikan nama beliau dibersihkan. Bagi DPPWP, Datuk Lee Chong Wei sentiasa dan akan terus menjadi wira dan ikon tanah air dalam bidang sukan. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: