Azmin Ali Azmin Ali
 
 
BANDAR BARU BANGI - Kerajaan Negeri Selangor menyerahkan usaha untuk menghalang cubaan mana-mana pihak menyebarkan Bible menggunakan kalimah ALLAH di negeri ini kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebagai agensi penguatkuasaannya.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata semua pihak perlu akur dan menghormati amaran keras itu agar perkara itu tidak berulang lagi.

"Kita kena rujuk larangan yang telah dinyatakan oleh Mais dan Jais semalam.

"Kita tidak sepatutnya membuat spekulasi isu di sebalik penyerahan bible semalam," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Selangorku Idaman Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa yang menegaskan bahawa naskhah Bible yang dipulangkan kepada Persatuan Gereja Sarawak (ACS) semalam tidak boleh diedarkan di Selangor.

[ARTIKEL BERKAITAN: Larangan cetak, edar Bible]

Dalam pada itu, Mohamed Azmin menegaskan semua pihak perlu menghargai usaha kerajaan negeri untuk mencapai kesefahaman antara pihak terbabit termasuk PBM dan komuniti Kristian Sarawak.

"Saya berkata begitu kerana bukan mudah keputusan itu hendak dibuat, dengan kegigihan kami dan sokongan semua pihak kita dapat capai kesefahaman itu.

"Inisiatif itu diusahakan oleh tuanku sendiri, saya hanya mengadakan perbincangan dengan Mais, Jais bersama PBM," ujarnya.

Bible bahasa Melayu dan Iban sebanyak 321 naskhah itu diserahkan kepada Persatuan Gereja Sarawak diwakili oleh Biskop dari Kuching, Datuk Bolly Lapok dalam majlis ringkas di Istana Alam Shah, Klang, semalam.