KUALA SELANGOR: Retreat yang melibatkan AJK PAS Pusat dan Majlis Syura
Ulama hari ini mencapai kata sepakat sebulat suara akan terus kekal
bersama Pakatan Rakyat.
Keputusan itu dicapai selepas bersidang selama dua hari di sebuah hotel
dekat Kuala Selangor dari pagi semalam hingga tengahari ini.
"Kita akan keluarkan kenyataan rasmi segera," kata seorang pemimpin
kanan PAS dipetik The Malaysian Insider ketika dihubungi sebaik sahaja
selesai program itu.
PAS mengadakan retreat itu ketika suasana parti itu berkecamuk dengan
isu perbezaan pendapat di kalangan pimpinan dan ahlinya selepas isu
pertukaran menteri besar Selangor dari Tan Sri Khalid Ibrahim kepada
Mohamed Azmin Ali.
Hampir semua pemimpinnya menyertai program itu, termasuk Presiden PAS
Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut membentangkan kertas utama.
Hadi membentangkan kertas mengenai pelaksanaan Islam di negara
demokrasi yang selalu menjadi isu antara PAS dengan rakannya dalam
Pakatan khasnya DAP.
Naib presiden PAS Salahudin Ayub pula menyampaikan kertas mengenai hubungannya dengan Pakatan Rakyat.
"Kita mencapai satu kemajuan yang baik apabila segala perbezaan
pendapat di kalangan pimpinan kita nyatakan dalam program ini dan
dibincangkan dengan terbuka," kata seorang AJK PAS Pusat dipetik The
Malaysian Insider.
Namun begitu, katanya samada keseluruhan isu boleh diselesaikan atau
tidak terserah kepada semua yang hadir untuk menyampaikannya ke
peringkat bawah.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad pula berkata
pertemuan kali ini mendengar semua harapan rakyat kepada Pakatan sebagai
kerajaan akternatif dan akan menyelesaikan segala masalah yang timbul
dengan rakan-rakannya.
"Tentang Pakatan Rakyat, kami sekali lagi mengesahkan komitmen kami dengan kuat yang kami akan bersama dengan Pakatan Rakyat.
"Kami akan bekerja sekuat mungkin untuk memperkukuhkan Pakatan walaupun
apa yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata beliau
sebagaimana dilaporkan oleh Malay Mail Online.
Beliau dipercayai merujuk kepada perbicaraan Anwar di hadapan Mahkamah
Persekutuan yang berakhir Jumaat lepas, tetapi keputusan mengenainya
belum lagi dikeluarkan.
Mahkamah itu akan mengeluarkan keputusannya kemudian, tanpa menetapkan tarikh.
Jika Anwar kalah dan hukumannya kekal penjara lebih dari satu tahun
atau denda melebihi RM2,000, Anwar akan kehilangan kerusi Permatang
Pauh.
Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan Anwar bersalah meliwat
pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan menjatuhkan hukuman lima tahun
penjara walaupun Mahkamah Tinggi sebelum itu mendapati Anwar tidak
bersalah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan