Hishammuddin Tun Hussein. - Foto Sinar Harian oleh SHARUFUDIN Hishammuddin Tun Hussein. - Foto Sinar Harian oleh SHARUFUDIN
 
 
PETALING JAYA - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak mahu perihal dalaman parti seperti isu yang berbangkit daripada pemilihan parti tahun lalu mendominasi Perhimpunan Agung Umno 2014 yang akan berlangsung hujung November ini.
  
eliau berkata tumpuan pada perhimpunan agung tahun ini seharusnya diberikan kepada usul, cadangan atau permasalahan yang dibawa daripada peringkat akar umbi bagi memastikan survival parti dalam landskap baharu politik.

"Perhimpunan agung penting untuk menentukan hala tuju dan pendekatan parti yang perlu seiring dengan keadaan semasa kerana kita tidak boleh kekal selama-lamanya tanpa melalui proses penilaian mengikut peredaran masa dan aspirasi rakyat," katanya.

Hishammuddin berkata, demikian dalam ucaptama di sini hari ini pada Persidangan Meja Bulat Usul Majlis Tertinggi (MT)yang diadakan sebagai persiapan untuk Perhimpunan Agung Umno 2014.
Perhimpunan Agung Umno 2014 akan berlangsung dari 25 hingga 29 November ini.

Hishammuddin yang juga pengerusi jawatankuasa usul perhimpunan berkata bagaimanapun, perwakilan tidak akan dihalang daripada membawa isu berbangkit berkaitan pemilihan parti.

Namun, platform untuk berbuat demikian adalah pada perhimpunan agung khas yang akan diadakan tahun hadapan atau pada 2016, tambah beliau.

"Jadi jangan kaitkan isu pemilihan dalam perhimpunan agung kali ini kerana pemilihan parti seterusnya akan berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-14, jadi masa yang ada sekarang ini kita tumpukan kepada perkara daripada akar umbi," katanya.

Beliau meminta perwakilan Umno jangan bersikap apologetik kerana negara telah mencapai pelbagai kejayaan pada peringkat antarabangsa di bawah kepimpinan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini termasuklah kejayaan Malaysia dipilih menjadi anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) dan memberi 'soft landing' kepada mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dengan mencari penyelesaian 'luar kotak' apabila berjaya berbincang dengan ketua pemisah Ukraine, Alexander Borodai.

"Ini adalah pemimpin Umno, jadi apa yang hendak kita apologetik sangat? Kita bukan takbur atau mengatakan kita ini hebat, namun kita ini bukan teruk sangat sehingga perlu bersikap apologetik," kata Hishammuddin.

Persidangan meja bulat usul itu diadakan bagi meneliti dan memantapkan draf usul yang disediakan sempena Perhimpunan Agung Umno 2014 dan dihadiri 130 individu yang arif dalam isu ekonomi, agama dan pendidikan.

Turut hadir ialah anggota MT iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku naib pengerusi jawatankuasa persidangan itu, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (pengerusi usul agama) dan Tan Sri Jamaluddin Jarjis (pengerusi usul ekonomi).

Semalam, Hishammuddin berkata Ibu Pejabat Umno telah menerima 755 usul daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara yang merangkumi 638 usul untuk rujukan dan 117 usul tanpa bahas.

Daripada jumlah itu, 121 usul menyentuh soal pendidikan, diikuti 87 politik, 81 pindaan perlembagaan parti, 74 agama, 67 ekonomi, 170 isu sosial, dan 38 mengenai hal-hal lain.