Jumaat, 21 November 2014

#PAU2014 : 106 Agensi Media Berdaftar Buat Liputan

Alif Mustapha
 
 
PAU2104, Media, Wartawan, Tengku Adnan, Rakyat News
 
 
KUALA LUMPUR  - Sebanyak 106 buah agensi media melibatkan media cetak, elektronik dan media sosial telah berdaftar bagi membuat liputan untuk Perhimpunan Agung UMNO kali ke 68 (PAU2014) pada 25 - 29 November ini.
 
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga berkata, jumlah tersebut membabitkan 96 agensi tempatan dan 10 agensi antarabangsa dengan penglibatan 1,452 wartawan.
 
"PAU2014 ini juga menempatkan semua media massa di Laman Media aras 2 Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebagai satu perkampungan dengan infrastruktur dan kemudahan elektronik bagi memudahkan liputan dibuat sepanjang perhimpunan ini,"
 
Beliau berkata demikian dalam sidang media di PWTC hari ini. 
 
Hadir sama Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan.
 
PAU2104, Media, Wartawan, Tengku Adnan, Rakyat News
 
Dalam perkembangan sama, Tengku Adnan turut memberitahu seramai 95 delegasi mewakili 27 parti dari 19 buah negara di peringkat antarabangsa telah mengesahkan kehadiran mereka pada PAU2014 ini.
 
Sementara seramai 84 perwakilan Kelab UMNO Luar Negara juga telah mengesahkan kehadiran mereka yang terdiri daripada 77 Kelab UMNO Luar Negara dan 7 Badan Perhubungan Negara.
 
"Anggaran jumlah perwakilan ke PAU2014 adalah seramai 5, 739 orang. Ini termasuk 2,763 orang ke Perhimpunan Agung UMNO, Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO (993 orang), Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO (992 orang) dan Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO (991 orang)," ujar beliau.
 
Perasmian untuk perhimpunan Agung bagi sayap parti akan dijalankan serentak pada 25 November, jam 8 malam di Dewan Merdeka PWTC dan bakal dirasmikan oleh Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Manakala upacara menaikkan bendera dan perasmian PAU2014 pula bakal disempurnakan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 November, jam 8 pagi.

Tiada ulasan: