MSTAR ONLINE
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata
beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak berhubung teguran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad terhadap Umno Selangor.
Beliau berkata pertemuan itu perlu bagi mendapatkan nasihat daripada
Najib selaku presiden Umno untuk memperbaiki kelemahan selain berusaha
melakukan penambahbaikan dalam parti.
"Bukan tugas yang mudah menjadi pengerusi Umno, ini bukan jawatan yang
glamour ... menteri besar (Selangor) itu ya jawatan glamour.
"Buat masa ini saya belum berkesempatan bertemu dengan Datuk Seri Najib,
mungkin selepas ini satu pertemuan akan diadakan dengan beliau untuk
mendapatkan nasihat apa yang perlu dilakukan bagi perbaiki Umno
Selangor," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kolokium
kepimpinan 2014 di Management and Science University di Shah Alam, hari
ini.
Noh berkata demikian ketika diminta mengulas teguran Dr Mahathir dalam
satu sidang media semalam terhadap kepimpinan Umno Selangor yang dilihat
gagal melaksanakan tugas mereka.
Dr Mahathir sebelum ini turut mengkritik barisan kepimpinan Umno
Selangor yang menurut beliau perlu berundur selepas mengalami kekalahan
pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12) dan PRU13.
"Mengenai itu, Datuk Seri Najib yang akan buat keputusan sama ada
kepimpinan Umno Selangor perlu bubar atau tidak ... beliau juga yang
melantik saya, jadi keputusan itu beliau yang tentukan," kata Noh.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan