Isnin, 10 November 2014

MB: PBT jangan ‘lepas batuk ditangga’ baiki jalan, pastikan kerja kualiti

Oleh: Naeem Raffi


SHAH ALAM: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) patut lebih bertanggungjawab membelanjakan peruntukan membaiki jalan mengikut spesifikasi yang ditetapkan demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata ini kerana pihaknya mendapati beberapa PBT seolah-olah ‘melepaskan batuk di tangga’ dalam amanah yang diberikan itu.

MB Himpun“Sebahagian PBT telah pun memulakan kerja. Malangnya dalam tinjauan saya secara senyap melihat kualiti kerja yang dijalankan seolah-olah ‘melepaskan batuk ditangga’.

“Saya sendiri hubungi YDP di beberapa PBT terlibat, mengapa jalan yang diselenggara itu, kualitinya amat rendah dan tidak memuaskan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan SUK di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah membahagikan peruntukan Geran Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bernilai RM400 juta kepada 12 PBT bagi membiayai kos kerja membaiki jalan diserata Selangor.

Mohamed Azmin juga berharap menerusi peruntukan itu, masalah jalan di Selangor dapat diatasi dalam tempoh tiga bulan pertama beliau menjadi Menteri Besar.

“Sementara Kerajaan Negeri memberi dokongan dengan dana yang cukup besar terhadap program seperti ini, saya tidak mahu mutu kerja yang diberikan tidak memuaskan.

“PBT sejawarnya membelanjakan peruntukan itu dengan cekap, amanah dan bertanggungjawab kerana soal jalan ini jika tidak diselengara dengan betul memberi kesan kepada negeri dan rakyat,” katanya.EZY

Tiada ulasan: