Tidak dinafikan kedudukan Perdana Menteri, Najib Razak ketika ini sedang diasak kiri kanan dan atas bawah oleh pelbagai pihak yang seolah-olah tidak boleh lagi menerima kepimpinannya.
Bekas
Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang sudah menarik balik sokongannya
kepada Najib, telah beberapa kali mengkritik mengenai hutang 1MDB yang
terlalu tinggi dan membebankan negara. Isu yang sama juga menjadi bahan
bagi beberapa pemimpin pembangkang di Parlimen untuk menyerang lagi
kerajaan.
Seorang
pemimpin UMNO Sabah, Salleh Tun Said Keruak secara terbuka mengingatkan
bahawa isu hutang 1MDB ini jika tidak diuruskan dengan baik, boleh
menjadi punca kejatuhan Najib daripada tampuk kuasanya.
Mahathir
dalam komen terbarunya pula mengatakan, "Malaysia jika tiada 1MDB pun
tidak mengapa" sebagai suatu lagi kecaman bahawa badan pelaburan yang
ditubuhkan oleh Najib pada 2009 itu langsung tidak memberi kebaikan,
selain semata-mata menambah lagi beban hutang negara.
Mengiringi
Mahathir, bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin dan bekas Menteri
Penerangan, Zainuddin Maidin juga turut melancarkan "peluru berpandu"
masing-masing. Daim mengkritik hasrat Najib untuk menjadikan Malaysia
negara berpendapatan tinggi dengah mengatakan ia tidak berguna jika
masih ramai rakyat yang tidak mampu memiliki rumah sendiri.
Zainuddin
Maidin atau Zam pula melancarkan serangan bak "pukul anak sindir
menantu" apabila mengatakan adik Najib, Nazir Razak yang mengetuai
Kumpulan CIMB lebih banyak menyalurkan peruntukan iklannya untuk akhbar
bukan bahasa Melayu berbanding Utusan Melayu yang dimiliki oleh UMNO dan
dipimpin oleh abangnya sendiri.
Kritikan
yang mahukan Najib melepaskan jawatan Menteri Kewangan juga bergema
kembali berikutan banyak kekalutan dalam dasar kewangan serta ekonomi
negara ketika ini. Najib disarankan hanya menumpukan kepada jawatan
Perdana Menterinya saja.
Dua
pemimpin pembangkang, Liew Chin Tong dan Mahfuz Omar telah pun
mengeluarkan gesaan itu semalam demi untuk kebaikan negara. Sebelum ini,
Daim Zainuddin dan bekas Menteri Pelancongan, Sabbaruddin Chik turut
membuat desakan yang sama.
Di
dalam UMNO pula, isu pemansuhan Akta Hasutan yang pernah dijanjikan
Najib untuk menunjukkan keterbukaannya, mulai mendapat tentangan yang
makin meluas. Selain Muhyiddin Yassin dan kumpulan konservatif yang
sudah beberapa kali berikrar untuk mempertahankan akta itu, kini
Shahrizat Jalil yang suaminya bakal dikenakan tindakan saman oleh
kerajaan untuk bayaran balik projek lembu NFC, turut menyatakan sokongan
dengan ikrar untuk mengumpul sejuta tandatangan agar akta penjajah itu
terus dikekalkan.
Isu
cukai GST turut menjadi hambatan kepada Najib. Selain makin banyak
perkara berkaitan kenaikan harga barang mula didedahkan apabila cukai
itu dikenakan pada April tahun depan, pihak pembangkang pula giat
mengadakan ciri ceramah di seluruh negara menentang perlaksanaan cukai
itu.
Atas
nama prihatin kepada nasib rakyat, pemimpin berpengalaman UMNO, Tengku
Razaleigh Hamzah juga menulis surat kepada semua Ahli Parlimen untuk
mencadangkan agar cukai itu ditangguhkan perlaksanaannya serta kadar 6
peratus yang telah diterapkan dicongak semula supaya tidak membebankan.
Malangnya,
cadangan Ku Li itu hanya mendapat reaksi positif daripada kalangan
pemimpin pembangkang, sementara Ahli Parlimen UMNO dan BN membisu seribu
bahasa.
Rakyat
pula, rata-rata mulai terbuka meluahkan rasa tidak puas hati terhadap
kerajaan, terutama berikutan kenaikan harga petrol dan diesel baru-baru
ini. Ahli UMNO sendiri sudah ramai yang tidak segan-silu lagi
mengkritik, malah mencerca dan memaki hamun Najib berikutan beban kos
hidup yang makin meningkat ini.
Di
persada antarabangsa pula, selain mereka mengecam mengenai Akta
Hasutan, kes perbicaraan Anwar Ibrahim yang sedang menunggu keputusan
rayuannya diumumkan juga menarik perhatian banyak negara. Banyak negara
Barat yang melihat pelbagai kecelaruan dalam kes itu tentunya akan
memperhebatkan lagi kecaman mereka jika akhirnya Anwar didapati bersalah
dan menghuni penjara sekali lagi.
Tetapi
atas semua kecaman dan asakan itu, Najib tetap selesa dan relaks, bukan
saja seolah-olah tiada apa yang mengancam kedudukannya, malah sentiasa
terbang daripada satu negara kepada satu negara. Walaupun rakyat makin
tidak bersamanya, Mahathir dan Daim yang banyak membantu kempen PRU 13
sudah mengasingkan diri, pembangkang kian agresif dan dunia antarabangsa
pula memerhati, Najib sedar kedudukannya sama-sekali tidak terancam
sehinggalah PRU 14 akan datang lantaran majoriti pimpinan UMNO sudah
berda dalam "jagaan" dan "genggamannya".
UMNO
pula, barangkali kerana memahami Najib lebih suka disanjung, dipuji dan
dipuja, sudah pun memulakan projek ke arah itu menjelang dua minggu
lagi berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO. Sepupu Najib, Hishammuddin
Hussein yang mengetuai tapisan usul dan jurucakap negeri-negeri, hari
ini mengadakan persidangan meja bulat ke arah menyelaraskan semua suara
dalam perhimpunan itu nanti.
Dengan
Hishammuddin membangkitkan kepada wakil setiap negeri mengenai pelbagai
kejayaan - daripada menduduki kerusi tetap PBB dengan undi terbanyak,
mengurus kehilangan MH370 walau belum ditemui, kejayaan berunding dengan
militan dalam kes MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine sehinggalah
kemampuan berhadapan dengan media antarabangsa mengenainya.
Semua
yang dicapai itu, menurut Hishammuddin, tidak mungkin dapat dilakukan
jika UMNO begitu teruk dipandang oleh dunia serta jika bukan kerana
Najib yang melakukannya. Diulang sekali lagi, tidak mungkin dapat
dilakukan jika UMNO begitu teruk dipandang oleh dunia serta jika bukan
kerana Najib yang melakukannya.
Maka,
dapatlah dijangka Perhimpunan Agung UMNO kali ini akan terus
gegak-gempita dengan amalan puji, puja, bodek dan sanjungan terhadap
Najib semata-mata. Akan bergemalah Dewan Merdeka bahawa tiadalah yang
sehebat Najib memimpin negara ini. Najib akan dikompang semahu-mahunya
dan Hishammuddin nampaknya sudah menyampaikan mesej itu kepada pemimpin
UMNO setiap negeri untuk dijadikan garis panduan kepada setiap jurucakap
nanti.
Rungutan
dan keluhan pelbagai peringkat masyarakat, waima teguran bekas pemimpin
sekali pun bukannya mahu diambil iktibar sebagai asas untuk
memperbetulkan kesilapan, sebaliknya cuba ditutup dan dilindungi dengan
lebih kuat suara pujian dan sanjungan yang diatur rapi.
Isu
GST, kos hidup rakyat, kenaikan harga barang, harga rumah yang kian
meningkat dan semakin jauh daripada jangkauan rakyat, pembaziran,
kemewahan pemimpin dan seumpamanya, apatah lagi hutang 1MDB, akan terus
disembunyikan daripada disuarakan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan