Apabila Ketua Hakim Negara, Ariffin Zakaria menangguhkan keputusan kes rayuan liwat Anwar Ibrahim yang sebelum ini disabitkan dengan hukuman lima tahun penjara ke suatu tarikh lain, persoalan yang menjadi teka-teki ramai ialah bilakah ia akan diumumkan dan apakah pula keputusannya.
Sementara
pihak pembela dan pendakwa melahirkan keyakinan keputusan nanti akan
memihak kepada mereka, orangramai juga mulai membuat telahan dan andaian
masing-masing. Ada yang yakin Anwar akan didapati bebas dan ada juga
yang merasakan sebaliknya.
Ariffin
yang mengetuai panel lima hakim di Mahkamah Persekutuan membuat
penangguhan itu selepas tidak sampai sejam mendengar hujah penutup oleh
pihak pembela dan pendakwa pada petang Jumaat selepas bersidang sejak
tujuh hari lalu.
Beliau
berkata, memandangkan banyak fakta dikemukakan, pihaknya memerlukan
sedikit masa untuk membuat penilaian dan keputusan akan dibuat di tarikh
lain yang akan diberitahu kemudian.
Berbanding
kes rayuan di Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mana keputusan diumumkan
pada hari yang sama pendengaran hujah kedua-dua pihak pendakwa dan
pembela berakhir, penangguhan keputusan ini mengulangi seperti apa
berlaku dalam Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Tidak
dipastikan berapa lamakah panel lima hakim ini memerlukan masa untuk
menilai fakta-fakta yang dikemukakan sebelum membuat keputusan muktamad.
Ia mungkin seminggu, dua minggu, tiga minggu atau lebih lama daripada
itu.
Tetapi
memandangkan pada 25 hingga 29 November ini akan berlangsung
Perhimpunan Agung UMNO, adalah dijangkakan keputusan kes rayuan Anwar
ini hanya akan diumumkan selepas tarikh tersebut.
Ini
tidak bermakna kes rayuan ini berkait secara langsung dengan UMNO,
namun apa pun keputusannya nanti tidak dinafikan akan mempengaruhi mood
perwakilan dan pemerhati pada perhimpunan itu. Adalah dipercayai Najib
selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri tidak bersedia untuk berdepan
dengan keadaan yang sukar dijangka itu.
Pada
tarikh keputusan diumumkan nanti juga, Anwar dijangka akan menggerakkan
kekuatan penyokongnya dalam PKR dan PR untuk berhimpun serta
bersolidariti sebagaimana yang dilakukannya ketika menunggu keputusan di
Mahkamah Tinggi pada 2012 dulu.
Jika
Anwar didapati bersalah dan dimasukkan ke penjara sekali lagi misalnya,
risiko yang mungkin berlaku ialah adanya beberapa siri perhimpunan lagi
di ibu negara bagi membantah keputusan itu. Walaupun polis dan pasukan
keselamatan dipercayai boleh mengawalnya, tetapi bagaimana ia berakhir
sukar sekali dijangka.
Dalam
masa yang sama, berikutan siri perhimpunan itu, kesannya kepada simpati
rakyat mungkin bercambah dalam diam umpama "api dalam sekam".
Naib
Presiden PKR, Tian Chua sendiri sebelum ini memberitahu sekiranya Anwar
didapati bersalah dan dipenjarakan, pihaknya akan mengadakan himpunan
rakyat secara besar-besaran di Dataran Merdeka bagi menunjukkan bantahan
rakyat terhadap keputusan itu.
Dalam
situasi yang sama, di kalangan ahli dan pemimpin UMNO yang berkampung
di PWTC sendiri, mungkin ada yang turut simpati dan meluahkan kesedihan
dengan nasib yang menimpa Anwar dan keluarganya walaupun tidak dinafikan
ramai juga yang gembira bila Ketua Pembangkang itu berehat di penjara.
Gangguan seperti ini pastinya akan membuatkan Najib merasa tidak selesa dan terganggu jiwanya.
Kiranya
Anwar didapati tidak bersalah dan bebas pula, mood perwakilan dan
pemerhati dalam Perhimpunan Agung UMNO tidak mustahil bertukar menjadi
kecaman dan serangan terhadap Najib dan kerajaan kerana gagal
menguruskannya dengan baik.
Kumpulan
konservatif dalam UMNO yang suka melihat Anwar dipenjarakan, hanya
semata-mata bersandarkan emosi, mungkin sekali menuding jari terus
kepada kepada Najib atas pembebasan itu.
Malah,
tindakan kerajaan melantik peguam terkenal, Shafee Abdullah mengetuai
pasukan pendakwaan akan turut menjadi kecaman serta dianggap pembaziran
wang kerajaan berbanding jika menggunakan pasukan biasa daripada Jabatan
Peguam Negara.
Sama
ada Anwar bebas dan bersalah, membiarkan keputusan Mahkamah Persekutuan
diumumkan sebelum Perhimpunan Agung UMNO, tetap mengundang kesan
negatifnya kepada Najib dan kerajaan.
Untuk
menjadikan keadaan lebih selesa dan Najib tidak perlu terlalu serabut
dengan dibebani isu Anwar, membiarkan keputusan itu dibuat selepas
Perhimpunan Agung UMNO adalah situasi yang dianggap selamat dan wajar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan