Khamis, 6 November 2014

Jakim tegur penganjur 'I want to touch a dog'

MALAYSIAKINI


 


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi teguran kepada penganjur 'I Want To Touch A Dog' supaya tidak lagi menganjurkan program yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha dalam satu kenyataan berkata teguran dan nasihat itu disampaikan dalam satu pertemuan diketuai Pengerusi Panel Pakar Syariah Jakim Datuk Seri Hassan Ahmad hari ini.
  
Difahamkan perjumpaan itu berlangsung kira-kira satu setengah jam di Seri Kembangan.
  
Sehubungan itu Othman berkata Jakim menyerahkan kepada Majlis Agama Islam Selangor, selaku pihak berkuasa agama negeri, untuk tindakan selanjutnya.
  
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata perjumpaan antara Jakim dan penganjur program itu bertujuan mendapatkan penjelasan sebenar mengenai penganjuran 'I want to Touch a Dog.'

Bagaimanapun Jamil Khir berkata Jakim tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sebarang tindakan undang-undang memandangkan jabatan itu hanya bertindak sebagai perantara.
  
Program 'I Want To Touch A Dog' pada 19 Oktober di Central Park, One Utama, Petaling Jaya itu mencetuskan perdebatan hangat khususnya dalam kalangan umat Islam kerana ia dikatakan bercanggah dengan mazhab Shafie dan adat di negara ini.
  
Bagaimanapun, penganjur program Syed Azmi Alhabshi telah memohon maaf atas perasaan tidak senang yang timbul akibat perbuatan segelintir peserta memeluk dan mencium anjing semasa program berlangsung.- Bernama

Tiada ulasan: